Tragedi beli air tebu, warga emas maut dirempuh kereta

MELAKA - Selepas tiga jam bertarung nyawa di hospital, seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas terlibat kemalangan ketika dipercayai mahu membeli air tebu di sebuah gerai di Jalan Tangga Batu di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa, Zainah Abdul Latif, 65, dan suaminya berusia 68 tahun sedang berhenti di bahu jalan berhampiran gerai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila sebuah kereta Proton Persona dari arah Balai Bomba Tangga Batu menghala ke arah Tangga Batu dipercayai mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang memasuki laluannya di lokasi kejadian.

"Kejadian itu mengakibatkan kereta dipandu pesara kastam berusia 70 tahun itu merempuh Proton Saga dinaiki mangsa dan suaminya yang berhenti di bahu jalan sebelah kiri.
"Ketika itu pula penumpang Proton Saga hendak keluar dari keretanya dan rempuhan terbabit menyebabkan kenderaan itu terperosok ke hadapan dan melanggar pula Perodua Kancil yang turut dipakir di situ dan sebuah gerai," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.
Menurutnya, akibat rempuhan itu, suri rumah terbabit cedera pada kepala dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Merah Hospital Melaka pada jam 8.15 malam.
Tambahnya, pemilik kereta Kancil iaitu seorang lelaki mengalami luka di kepala dan kini dirawat di zon kuning.
"Pemandu Persona dan Proton Saga itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan semua kenderaan yang terbabit nahas ditahan untuk dihantar menjalani pemeriksaan teknikal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

