Thamaraj antara tiga hero tentera terima anugerah

PORT DICKSON - Tiga anggota Tentera Darat Malaysia(TDM) termasuk seorang anggota berbangsa India melakar sejarah tersendiri apabila terpilih menerima Anugerah Pisau Tentera Darat.
Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan tertinggi buat anggota TDM yang mempamerkan kecemerlangan dan tindakan berani mereka.
Mereka ialah Sarjan V Thamaraj, 29, Sarjan Ahmad Fauzan Abd Hadi, 33, dan Staf Sarjan Mohd Nor Khalid, 41.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA) di sini pada Sabtu.
Thamaraj yang bertugas dalam pasukan 9 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja menjadi pesilat berbangsa India pertama yang meraih pingat emas dalam Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu(UAE), Disember lalu.
Menurutnya, dia tidak menyangka menerima anugerah itu yang disifatkan antara pencapaian terbaik buatnya sepanjang berkhidmat dalam tentera.
"Saya sebenarnya bermula sebagai pemain taekwondo ATM, tapi beralih kepada silat selepas tertarik dengan seni mempertahankan diri itu yang mempunyai kelainan tersendiri.
"Terima kasih kepada ATM, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia yang memberi peluang kepada saya dan nampaknya sasaran saya menjadi juara dunia telah pun tercapai," katanya yang menjadikan ratu silat negara yang juga jurulatihnya iaitu Siti Rahmah Mohamed Nasir sebagai idola.
Dia yang merupakan anak kelahiran Kedah turut berbangga apabila kejayaannya dalam sukan berkenaan turut mengharumkan nama ATM.
Ahmad Fauzan pula menyifatkan penyertaan rakannya itu ke dalam seni bela diri terbabit secara tidak langsung dapat membuka mata kaum lain bahawa silat bukanlah hanya untuk orang Melayu.
"Bagi saya baguslah bila orang bukan Melayu nak belajar silat dan ia boleh tunjukkan pada orang lain yang silat ini untuk semua.
"Terima kasih juga kepada panglima dan ATM kerana beri anugerah atas pencapaian kami. Saya bersyukur dengan rezeki yang ALLAH beri ini,"katanya yang bertugas di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja.
Sementara itu, Mohd Nor yang bertugas dalam Pasukan 41, Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di Kem Sungai Buloh pula tidak menyangka apabila terpilih menerima anugerah berkenaan pada saat akhir perkhidmatannya.
"Saya terharu apabila diberi anugerah seumpama ini lebih-lebih lagi saya akan tamat perkhidmatan kerana bersara pada bulan April ini.
"Pada bulan November lalu saya telah dinaikkan pangkat dan tahun ini pula saya terima anugerah tertinggi ini," katanya.
Dalam pada itu, seramai 1,339 perajurit muda telah berjaya menamatkan latihan bagi pengambilan kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

