Peralihan kuasa terpulang kepada saya, kata Tun M

Sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana sebentar tadi. - FOTO: IZARI ROSLI
Sidang media Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana sebentar tadi. - FOTO: IZARI ROSLI
A
A
A

PUTRAJAYA - Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan peralihan kuasa Perdana Menteri akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasific (APEC) hujung tahun ini.

Bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana sebentar tadi, Dr Mahathir berkata, kesemua pihak yang menghadiri mesyuarat itu sebulat suara menyerahkan kepada beliau untuk membuat keputusan.

"Kita fikir masa depan parti. Saya rasa bangga semuanya serah kepada saya. Apa yang saya kata mereka ikut.

"Saya kata peralihan selepas APEC. Terpulang kepada saya sama ada hendak lepas atau tidak," katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir tiba kira-kira 8.30 malam diiringi konvoi keselamatan dan dilihat mengangkat tangan kepada petugas media yang menunggu dalam keadaan hujan renyai.

Turut hadir pada sidang media itu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Mesyuarat tertutup itu berlangsung lebih dua jam.

Sebelum ini beberapa pihak mendesak Majlis Presiden PH memutuskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri bagi mengekalkan perkara itu terus jadi spekulasi yang menjejaskan kestabilan politik negara.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir telah beberapa mengulangi pendirian untuk melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan dalam konsesus PH sebelum PRU-14.

Khamis lalu, Anwar menyatakan isu peralihan kuasa akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.