[VIDEO] Dr Kjey mahu ukir nama dalam MBOR
TEMERLOH - Seorang pelatih kecergasan berazam melakar tiga rekod Malaysia Book of Record (MBOR), sekali gus mencipta sejarah terbaharu dalam sukan itu pada tahun ini.
Atlet kelahiran Kuala Lipis, K Jey Prabakaran Thevar, 28, yang juga lebih dikenali Dr Kjey dalam persediaan rapi melakar rekod dalam tiga kategori kecergasan iaitu ulangan lompat bintang, regangan kaki dan squat terbanyak dalam sehari.
Menurutnya, tiga cabaran itu akan dilakukan di Jerantut pada 8 Mac depan.
"Saya akan melakukan hingga 3,000 kali bagi setiap cabaran dalam tempoh lima jam.

"Cabaran kali ini agak berbeza kerana sebelumnya dilakukan tanpa henti dan persediaan sudah dilakukan sejak awal Januari ini selama sembilan minggu," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Ujarnya, latihan juga lebih mencabar kerana lebih banyak menggunakan kaki.
"Dengan keadaan lutut yang cedera, memang juga mencabar sikit namun ia tidak menghalang saya terus melakar rekod baharu," jelasnya.

Sebelum ini, beliau mencatat pelbagai pencapaian antarabangsa termasuk pemegang rekod dunia dan kebangsaan untuk 12 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti pada 2023.
Kjey juga merupakan pemegang rekod Asia untuk 13 jam senaman kardio dan angkat berat tanpa henti dan rekod dunia bagi tempoh 15 jam tanpa henti bagi cabaran sama tahun lalu.
Sementara itu, jurulatih kecergasan, Mohamad Syazwan Lutfi Ismail, 36, menyifatkan cabaran kali ini berbeza dan menuntut persediaan lebih rapi serta tersusun.
"Persediaan termasuk dari segi pemakanan, waktu tidur dan mengenal pasti setiap kelemahan serta kecederaan dialami untuk memastikan rekod ingin dicipta berjaya," tambahnya yang mengenali Kjey sejak 12 tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

