Proses mohon permit masuk ditambah baik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan proses permohonan permit masuk untuk mendapatkan taraf pemastautin tetap (MYPR), khususnya bagi kategori pasangan kepada warganegara yang berkuat kuasa pada 31 September ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu selari dengan komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan dasar yang adil dan efisien dilaksanakan demi kebajikan semua pihak.

Menurutnya, antara langkah utama yang telah digariskan termasuklah penyelarasan tempoh perkahwinan, pemendekan tempoh pemprosesan dan pengecualian penilaian sistem mata.

"Bagi penyelarasan tempoh perkahwinan, pasangan kepada warganegara yang memohon permit masuk perlu mencapai tempoh minimum tiga tahun perkahwinan dan memegang Pas Lawatan (Sosial) selama sekurang-kurangnya satu tahun.

"Ini bertujuan memastikan proses permohonan lebih teratur dan relevan dengan keperluan institusi kekeluargaan," menurut kenyataan itu pada Rabu.

Selain itu, piagam pelanggan telah diperkemas dengan menetapkan tempoh pemprosesan permohonan baharu kepada enam bulan.

Jelasnya, ia memberikan kepastian kepada pemohon dan mempercepatkan prosedur.

"KDN juga akan mengecualikan pelaksanaan sistem mata bagi kategori pasangan warganegara.

"Sebaliknya, faktor seperti tempoh perkahwinan dan bilangan anak akan diambil kira dalam mempertimbangkan kelulusan, bagi memelihara kebajikan keluarga yang sah dan tulen," katanya.

Artikel Berkaitan:

KDN menjelaskan, penambahbaikan itu mencerminkan komitmennya dalam mendukung institusi kekeluargaan, seiring dengan aspirasi kerajaan Madani yang menitikberatkan belas ihsan dan pemberdayaan kemanusiaan.

Pelaksanaan langkah-langkah itu katanya, diyakini akan dapat meningkatkan kepercayaan terhadap sistem permohonan permit masuk dan memberikan manfaat kepada semua pihak berkepentingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!