Lima laluan 'blackspot' kemalangan maut di Lipis

LIPIS - Lima laluan dikenal pasti sebagai lokasi 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan maut di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, lokasi 'blackspot' dikenal pasti adalah di Kilometer (KM) 17 Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta, KM25 Jalan Lipis-Benta (Bulatan Benta) dan KM5 Jalan Lipis-Merapoh (Dewan Laman Qaseh, Kampung Tempoyang).
Menurutnya, dua lagi laluan di KM7, Jalan Lipis-Merapoh (depan Institut Pendidikan Guru Lipis) dan KM18 Jalan Lipis-Merapoh (Kampung Selendang).

"Sempena Ops Selamat 23 Tahun Baharu Cina 2025 ini, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas serta mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya terutama di lima lokasi 'blackspot' itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain itu katanya, tiga kawasan dikenal pasti sebagai 'hotspot' yang sering berlaku kesesakan di daerah itu iaitu di KM5, Jalan Lipis-Benta (berhampiran Taman Gold), KM26 Jalan Lipis Merapoh kawasan Kampung Seberang Jelai dan KM55 laluan Lingkaran Tengah Utama di sempadan Merapoh-Gua Musang.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lipis telah menempatkan dan mengatur gerak penugasan khususnya untuk memantau aliran trafik di lokasi fokus utama termasuk di kawasan 'hotspot' sepanjang Ops Selamat kali ini.
"Langkah itu juga sebagai usaha untuk mengurangkan kadar kes kemalangan jalan raya di daerah ini," jelasnya.
Beliau berkata, pihaknya akan menumpukan perhatian khusus kepada enam kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kes kemalangan pada musim perayaan.
"Kesalahan itu termasuk memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak mematuhi peraturan lampu isyarat dan menggunakan telefon semasa memandu," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

