Pemandu maut MPV bertembung bas

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) maut dalam kemalangan membabitkan kenderaan itu dan sebuah bas di Kilometer (KM) 104 Jalan Kota Bharu-Gua Musang pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari.
Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV Perodua Alza yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 56 tahun hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas terbabit.
"Lelaki warga tempatan itu dikatakan dari arah Sungai Sam menghala ke Kuala Krai," katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu, akibat pelanggaran itu pemandu MPV mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Tambahnya, pemandu bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azian di talian 019-6380098.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
