Stadium Merdeka kembali dibuka, boleh diakses orang awam
KUALA LUMPUR - Stadium Merdeka yang menjadi mercu ikonik negara kembali dibuka kepada orang awam bermula 17 Ogos tahun lalu setelah ditutup bagi tujuan pengubahsuaian sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, lokasi bersejarah itu kini berwajah baharu dan lebih moden tetapi mengekalkan warisan sejarahnya.
Menurutnya, sejak dibuka semula pada 17 Ogos tahun lalu, lokasi tersebut telah menjadi hab pelbagai aktiviti dengan penganjuran sebanyak 209 acara merangkumi kebudayaan, seni, pendidikan, warisan dan sukan.
“Sebelum ini, Stadium Merdeka juga telah menjadi tempat mempamerkan konsert ‘The Journey of Sound’ yang menampilkan penyanyi tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi negara jiran, Judika pada 14 Disember tahun lepas.
“Justeru, kami berbesar hati telah menerajui pemuliharaan Stadium Merdeka, mercu tanda ikonik negara di mana perdana menteri pertama mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia dan mengalu-alukan kehadiran semua untuk merasai semangat serta legasi yang diperbaharui,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, stadium tersebut turut menjadi hab dinamik untuk pembelajaran, kreativiti dan pemeliharaan budaya dengan memperkenalkan program utamanya iaitu kelas tarian kebudayaan bulanan bagi golongan belia serta dewasa.
Katanya, peserta yang berminat boleh menyertai dengan mendaftar melalui Linktree Instagram Stadium Merdeka selain boleh mendapatkan maklumat lain termasuklah tempat letak kereta atau atur cara program.
“Stadium Merdeka telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam mempromosikan seni dan warisan melalui beberapa siri aktiviti yang menarik.
“Baru-baru ini juga, Kaki Jelajah Warisan telah menganjurkan Jelajah Sekitar Stadium Merdeka yang berjaya menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Jelas Tengku Ab Aziz, sebagai hab aktiviti sukan dan kecergasan, lokasi itu menjadi tumpuan penganjuran acara olahraga yang boleh diakses oleh semua pihak.
Menurutnya, kejohanan bola sepak komuniti yang pernah diadakan dengan hampir 100 perlawanan mendapat sokongan serta minat luar biasa daripada sekolah, warga emas berumur 50 tahun ke atas dan pasukan bola sepak sekitar Lembah Klang.
“Semua aktiviti menarik yang telah berlangsung ini hanyalah sekilas daripada apa yang ditawarkan oleh Stadium Merdeka yang kini kian berkembang dengan semangat kemasyarakatan.
“Jika ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai aktiviti atau menyertai acara akan datang boleh terus melayari Instagram Stadium Merdeka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

