Israel bebas kumpulan kedua tahanan Palestin

Banduan Palestin yang dibebaskan oleh Israel melambai kepada orang ramai yang berkumpul menyambut mereka di bangunan Pusat Sukan Perbandaran Ramallah. Foto AFP
Banduan Palestin yang dibebaskan oleh Israel melambai kepada orang ramai yang berkumpul menyambut mereka di bangunan Pusat Sukan Perbandaran Ramallah. Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa pendudukan Israel pada Sabtu membebaskan kumpulan kedua tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dengan puak Palestin di Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut Suruhanjaya Palestin bagi Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin, kumpulan kedua termasuk 200 tahanan, terdiri daripada individu dengan hukuman penjara seumur hidup dan tempoh penjara yang panjang.

Mahmud al-Arda, salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan Israel. Foto Bernama
Mahmud al-Arda, salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan Israel. Foto Bernama

Antaranya, 121 tahanan sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 79 sedang menjalani hukuman jangka panjang.

Pembebasan itu menyaksikan 114 tahanan dari Penjara Ofer dipindahkan ke Ramallah, 16 tahanan dihantar pulang ke Gaza dan 70 lagi diusir keluar dari Palestin.

Antara yang dibebaskan ialah tahanan Palestin tertua di penjara Israel, Mohammad Al-Tous, 67, dari kampung Al-Jabaa, selatan Bethlehem.

Al-Tous telah menghabiskan 39 tahun di penjara Israel.

Satu lagi pembebasan penting ialah Raed Al-Saadi, 57, dari bandar Silat Al-Harithiya, barat Jenin.

Artikel Berkaitan:

Al-Saadi, yang dipenjarakan sejak 1989, merupakan tahanan paling lama berkhidmat di Gabenor Jenin.

Salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebaik tiba di Ramallah. Foto Agensi
Salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebaik tiba di Ramallah. Foto Agensi

Pembebasan itu juga melibatkan tiga beradik Abu Hmeid-Nasser, Mohammad dan Sharif dari kem pelarian Al-Amari di Ramallah.

Ketiga-tiga mereka yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, telah diusir keluar dari Palestin.

Abang mereka, Nasser Abu Hmeid, seorang pemimpin terkemuka, meninggal dunia dalam tahanan Israel pada akhir 2022, dan mayatnya kekal ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Semasa proses pembebasan, pasukan pendudukan Israel mengisytiharkan kawasan berhampiran Penjara Ofer sebagai zon tentera tertutup, menyuraikan keluarga tahanan dan penyokong dengan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Sementara itu, ratusan rakyat Palestin berkumpul di Kompleks Hiburan Ramallah untuk menyambut 114 tahanan yang dibebaskan dari Penjara Ofer.

Acara itu turut dihadiri oleh Layla Ghannam, Gabenor Ramallah dan Al-Bireh, bersama beberapa tokoh kepimpinan Palestin.

Pembebasan itu menandakan perkembangan penting dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, dengan suasana penuh emosi dalam kalangan keluarga dan penyokong yang meraikan kepulangan orang tersayang. - Bernama-WAFA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!