Derma jihad berjaya pertahan kerusi Pas

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Derma jihad yang dilancarkan Pas untuk membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berdepan kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP secara simbolik berjaya mempertahankan kerusi milik parti itu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pembayaran ganti rugi kes berkenaan yang diselesaikan dalam tempoh ditetapkan menyebabkan Siti Mastura tidak diisytiharkan bankrap seterusnya tidak perlu mengosongkan kerusi disandang.

Menurutnya, ia juga sekali gus dapat mengelak berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) sekiranya Siti Mastura gagal menyelesaikan bayaran dalam tempoh tersebut.

“Syukur semua sudah selesai. Jadi tak perlu diumumkan beliau bankrap sebab pembayaran dibuat pada tarikh ditetapkan. PRK juga tidak perlu berikutan mematuhi perintah mahkamah, jika diadakan PRK sudah tentu kosnya lagi tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Hashim memaklumkan, keseluruhan pembayaran tersebut dibiayai sepenuhnya menerusi kempen derma jihad bagi membantu wakil rakyat tersebut.

“Sudah tentu dia tak mampu bayar seorang. Maka perlu bantu seorang sedikit untuk capai sasaran. Ini sikap dan amalan Pas sejak dahulu dan selamanya.

“Kesepakatan dalam parti ini membawa kebaikan walaupun dipandang serong segelintir pihak, namun amalan itu hidup subur dalam parti,” katanya.

Hashim berkata, biarpun kes berkenaan dalam proses rayuan, namun parti tetap komited menguruskan pembayaran dengan ikhlas.

“Apabila kutipan sudah cukup, kita pun terus bayar walaupun buat rayuan kes. Kita berusaha merayu tetapi sama ada diterima atau tidak belum pasti, biarlah mahkamah uruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Pas melancarkan derma jihad bagi membantu membiayai bayaran saman Siti Mastura seperti diperintahkan oleh mahkamah.

Kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kerusinya akan dikosongkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!