Tune Protect sasar 6,000 jam khidmat sukarelawan hingga 2027

KUMPULAN Tune Protect Berhad (Tune Protect) menyasarkan untuk mencapai 6,000 jam tempoh khidmat sukarelawan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Strategi Tune Protect dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, Koot Chiew Ling berkata, tumpuan utama kumpulan itu terarah kepada usaha pemuliharaan alam sekitar, memajukan usaha kemampanan dan seterusnya mewariskan legasi positif kepada generasi akan datang.
Menurutnya, matlamat itu selari dengan kejayaan Tune Protect menjayakan pelbagai program di bawah inisiatif Corporate Good (CG) bagi menunjukkan komitmen berterusan kumpulan terbabit terhadap usaha pemerkasaan, kemampanan dan perubahan positif dalam komuniti pada tahun 2024.
"Malah, sepanjang tahun lalu, Tune Protect telah melibatkan komuniti merentasi pelbagai sektor dengan menumpukan aspek manfaat sosial, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan celik digital.
"Dari 2022 hingga 2024, Tune Protect mencapai kemajuan ketara dalam inisiatif CG dengan komitmen awal sebanyak 6,000 jam tempoh khidmat sukarelawan dan akhirnya mencapai jumlah 7,299 jam," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Chiew Ling berkata, pada tahun 2024, usaha berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa untuk meningkatkan kualiti sukan, celik digital serta penganjuran klinik bola sepak Battle of the Reds untuk kanak-kanak.
"Kami juga mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan beruniform, berkongsi keceriaan perayaan kepada pesakit hospital dengan kerjasama rakan media, dan mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman pokok.
"Inisiatif ini menunjukkan dedikasi Tune Protect untuk memberi sumbangan kepada kebajikan sosial dan kelestarian alam sekitar.
"Pencapaian ini membuktikan komitmen teguh kami dalam menyatupadukan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mempertikatkan inisiatif bermakna merentasi aspek kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial," ujarnya.

Menurutnya, antara inisiatif utama pada tahun 2024 adalah kerjasama dengan SK Kampung Baru Si Rusa di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang menumpukan kepada peningkatan sukan dan celik digital dalam kalangan pelajar.
Katanya, inisiatif tersebut merangkumi usaha menaik taraf kemudahan sukan dan membaik pulih pusat sumber digital sekolah terbabit.
Selain menaik taraf infrastruktur, Tune Protect menjalankan satu siri ceramah keselamatan siber melibatkan lebih 350 pelajar Tahun 4 hingga 6, untuk mengajar mereka kemahiran penting meneroka dunia dalam talian dengan selamat.
"Kerjasama ini mencapai kemuncak sewaktu Karnival Olahraga Kanak-kanak yang menyatukan tujuh sekolah di daerah Port Dickson, meraikan pencapaian pelajar serta memupuk semangat kesukanan dan kemasyarakatan," katanya.
Tune Protect turut memberi peluang kepada 40 murid SK Cohcrane untuk menimba ilmu dan pengalaman mengenai bola sepak daripada bekas bintang Manchester United dan Liverpool menerusi Program The Battle of the Reds di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Melalui inisiatif Roll Out Iftar, Tune Protect dengan kerjasama Sinar Harian berjaya mengagihkan 2,000 pek makanan termasuk murtabak dan kuih ubi boko kepada kakitangan beruniform dan penghantar makanan di sekitar bandar raya Shah Alam.
Inisiatif itu bukan sahaja menyokong pekerja penting seperti pegawai polis, bomba, anggota tentera udara dan kakitangan hospital sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga memberikan peluang kepada penghantar makanan untuk memperoleh pendapatan tambahan.
Selaras dengan matlamat kemampanan syarikat, Tune Protect komited mengambil bahagian dalam inisiatif penanaman pokok berskala besar anjuran Pusat Alam Sekitar Global pada program World Sustainability Day di Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor.
Berikutan itu, 104 sukarelawan Tune Protect daripada pelbagai organisasi berjaya menanam 600 pokok Tenggek Burung, spesies penting untuk memulihara dan mengukuhkan kepelbagaian biologi di ekosistem tanah gambut Selangor serta menangani perubahan iklim.
"Menelusuri tahun 2025, visi kemampanan kami ‘In Tune for a Better Tomorrow’ dijangka terus memberikan inspirasi dalam mencapai masa depan lebih berdaya tahan dan mampan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
