Kecederaan hantui Sang Kenari hadapi Kuching City

KEDAH Darul Aman (KDA) FC berdepan cabaran besar selepas ramai pemain utama cedera apabila bertemu Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching pada malam Jumaat.
Jurulatih sementara Sang Kenari, Victor Andrag berkata, antara pemain senior yang memasuki senarai kecederaan adalah Syafiq Ahmad, Fayadh Zulkifli, Ebenezer Assifuah, dan Halim Saari.
Menurutnya, seramai tujuh pemain muda telah dipanggil bagi membantu pasukan itu untuk memberikan cabaran kepada The Cats di laman lawan.
"Tujuh pemain muda itu termasuklah Afeeq Ikmal dan Daniel Tarmizi yang telah diberi peluang bersama skuad utama sebelum ini.
"Pemain muda ini akan membantu 11 pemain senior selepas ditolak beberapa pemain yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan," katanya mengulas pertemuan Liga Super itu.
Akui Victor, Kuching City kini dibarisi ramai pemain berpengalaman dan berkualiti berbanding pasukannya.
Menurutnya, Sang Kenari pula terpaksa bergantung harap kepada ramai pemain muda termasuk pemain senior yang masih setia dengan KDA FC.
"Saya akui menentang Kuching City apatah lagi di gelanggang lawan begitu sukar kali ini. Kami tahu mereka memiliki pemain yang cukup berkualiti dan lebih bagus berbandung kami," ujarnya.
Selepas 17 perlawanan, KDA FC kini berada di tangga ketujuh Liga Super dengan 20 mata manakala Kuching City di tangga kelima dengan 21 mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!