Seksyen 2 Lebuhraya WCE dibuka tengah malam ini

Alexander (empat dari kanan) menyempurnakan Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya WCE di tol lebuhraya berkenaan di sini pada Selasa.
Alexander (empat dari kanan) menyempurnakan Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya WCE di tol lebuhraya berkenaan di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat SAE melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer dibuka bermula tengah malam ini pada Rabu.

Pengguna kini mempunyai laluan alternatif lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke SKVE dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan jajaran ini akan melengkapkan jajaran telah dibuka sebelum ini dari Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE pada 31 Ogos tahun lalu.

"Pembukaan kedua-dua jajaran ini akan mempercepatkan perjalanan dari Shah Alam ke Banting atau KLIA berbanding jalan sedia ada, sekali gus memberi impak positif kepada mobiliti penduduk dan aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.

"Dengan adanya jaringan perhubungan lebuh raya lebih baik ini dijangka menarik pelaburan ke kawasan perindustrian sedia ada seperti Pulau Indah, Telok Panglima Garang dan Bandar Botanik serta merangsang sektor industri dan komersial di sepanjang koridor ini," ujarnya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya WCE di tol lebuh raya berkenaan di sini pada Selasa.

Beliau menambah, selain daripada meningkatkan kelancaran pergerakan, Lebuhraya WCE turut menyediakan sambungan strategik ke Pelabuhan Klang yang bakal memanfaatkan sektor pengangkutan kargo.

Jelasnya, pembukaan jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 kilometer yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping di Perak.

"Dengan siapnya lebuh raya ini, WCE akan menjadi antara pemangkin utama dalam pembangunan dan pertumbuhan ekonomi, khususnya di sepanjang koridor barat Semenanjung Malaysia, meningkatkan aktiviti pelancongan domestik di samping akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya utama jajaran Lembah Kelang ke utara Semenanjung," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya lagi, Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap WCE membuat promosi laluan alternatif ini agar pengguna maklum untuk menggunakannya bagi mengelakkan masalah kesesakan di lebuh raya terutama menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!