STR Fasa 1 dibayar mulai esok

STR Fasa 1 mula disalurkan bermula Rabu melalui pengkreditan dalam akaun bank dan memanfaatkan hampir 9 juta penerima.
STR Fasa 1 mula disalurkan bermula Rabu melalui pengkreditan dalam akaun bank dan memanfaatkan hampir 9 juta penerima.
A
A
A

SHAH ALAM - Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 mula disalurkan bermula Rabu melalui pengkreditan dalam akaun bank dan memanfaatkan hampir 9 juta penerima.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah bantuan berkenaan meningkat RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion tahun lalu dan akan mula disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Menurutnya, peruntukan STR Fasa 1 yang jauh melangkau kadar inflasi negara mencerminkan tekad kerajaan dalam memastikan kebajikan sebilangan besar rakyat bertambah baik walaupun berlaku peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan telah melonjakkan kadar maksimum isi rumah kepada RM4,600 tahun ini dengan kenaikan hampir 25 peratus berbanding RM3,700 tahun lalu.

“Kadar minimum golongan bujang juga meningkat kepada RM600 daripada RM500 tahun lalu dengan kenaikan sebanyak 20 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, peningkatan sumbangan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diharap dapat membantu rakyat menggapai kehidupan lebih berdarjat walaupun berlaku kenaikan kos sara hidup yang melanda seluruh dunia.

“Permohonan baharu dan kemas kini STR dibuka sepanjang tahun.

“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan di portal rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!