'Kami masih menanti kepulangan mereka, doakan semoga semua selamat' - Ahli keluarga

Tangkap layar hantaran adik kepada wanita berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang bersama suami dan tiga anaknya sejak Jumaat lalu di Instagram pada Ahad.
Tangkap layar hantaran adik kepada wanita berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang bersama suami dan tiga anaknya sejak Jumaat lalu di Instagram pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Keluarga masih berharap wanita berusia 37 tahun yang dilaporkan hilang bersama suami dan tiga anaknya sejak Jumaat lalu akan pulang dengan selamat.

Adik kepada wanita terbabit menerusi hantaran di Instagram berkata, dia dan keluarga menerima satu rakaman video menyatakan mereka berada dalam keadaan selamat dan berada di satu lokasi kawasan perkhemahan yang tidak dinyatakan.

"Kami menerima video pendek daripada Anis (kakak) dan suami mengatakan semua selamat. Alhamdulillah, tetapi dalam video tersebut tidak dinyatakan lokasi mereka.

"Kami tak pasti mereka dari mana, doakan semoga mereka sampai ke rumah dengan selamat," katanya pada Ahad.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman menerusi kenyataan berkata, polis giat menjalankan usaha mengesan lima sekeluarga yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Menurutnya, laporan kehilangan keluarga itu dibuat oleh adik kepada wanita berumur 37 tahun yang didakwa hilang bersama suami dan tiga kanak-kanak, iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Ujarnya, kesemua mereka keluar dari rumah di Persiaran Rimba Permai, Sepang dengan menaiki kenderaan jenis Perodua Alza WWT 8248 berwarna kelabu pada jam 11.30 malam, 17 Januari lalu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai keberadaan lima sekeluarga itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Kamaruzaman Shamsuddin menerusi talian 03-83182222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang 03-87774222.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!