Remaja maut motosikal bertembung kereta

JEMPOL - Perjalanan pulang seorang remaja berusia 17 tahun bertukar tragedi apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 8, Jalan Bahau-Kemayan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda RS seorang diri.
"Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlaku perlanggaran secara berhadapan dengan sebuah kereta jenis Proton Perdana V6.
"Kereta terbabit dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 16 tahun dari arah Mahsan menuju ke Raja Alias 2," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan penunggang motosikal mengalami cedera parah pada bahagian kelapa dan kaki serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, pemandu Perdana V6 pula luka pada bahagian muka serta tangan manakala penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
"Saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor, Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 016-3627746 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

