Tangguh SPM akibat derita kanser ovari

CHANGLUN - Seorang pelajar cemerlang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini namun terpaksa ditangguh kerana perlu menjalani rawatan kanser ovari.
Nur Auni Qistina Zahari, 17, pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sintok, dekat sini menganggap ujian dihadapinya sebagai satu hikmah walaupun berat untuk dilaluinya.
Menurutnya, penyakit tersebut disahkan oleh doktor selepas mendapat rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada 2 Mei tahun lalu.
"Saya tidak datang haid walaupun sudah berumur 16 tahun pada tahun 2022. Selepas itu saya membuat Pemeriksaan di Klinik Kesihatan Changlun dan seterusnya di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar dan mendapati ada ketumbuhan pada ovari kiri yang perlu dibuang segera.
"Semasa mendapatkan rawatan susulan di HSB, doktor sahkan saya menghidap kanser ovari dan perlu menjalani enam pusingan kemoterapi," katanya sebak.

Dia berkata demikian semasa menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamaln menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur.
Nur Auni Qistina dijadualkan menjalani pembedahan untuk membuang ovari kanan dan rahim pada Isnin.
Menurutnya, ovari kanannya bukan seperti wanita normal lain kerana memanjang dan doktor akan membuang melalui pembedahan.
"Rasa hiba bila perlu lalui ujian ini dan terpaksa tangguh SPM. Sebelum ini dah janji dengan kawan-kawan nak ambil SPM sama-sama tetapi apabila ALLAH SWT uji saya dengan penyakit ini, saya reda dan terpaksa tangguhkan SPM ke hujung tahun ini," ujarnya.
Tambahnya, keluarga, rakan dan pihak sekolah banyak membantu serta beri sokongan agar fokus kepada rawatan terlebih dahulu.
Sementara itu, ibunya, Norhesreyzah Rejab bekerja mengambil upah mengasuh kanak-kanak bagi membantu suami, Zahari Hashim, bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menampung pendapatan keluarga.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan kepada Nur Auni Qistina boleh berbuat demikian melalui akaun 02093027696667 Bank Islam atas nama Norhesreyzah Rejab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!