Amira Othman aura wanita Melayu

SEJAK awal penglibatan wanita ini dalam industri seni lebih sedekad lalu, tidak ada cerita panas yang melatari kerjaya seninya.
Mungkin kerana itu juga, kewujudan Amira Othman dalam industri seni hanya berkisarkan kerjaya dan sedikit sisi peribadi yang tidak keterlaluan.
Atas sebab itu jugalah, segelintir peminat dan warga maya memuji cara wanita berusia 31 tahun ini membawa diri dalam industri seni.

Beliau dilabelkan sebagai wanita sopan-santun dan punya harga diri yang mahal.
Jika ada cerita hangat pun, hanyalah baru-baru ini apabila beliau dikatakan kononnya mempunyai hubungan istimewa dengan duda hot, Fattah Amin, yang akhirnya hanyalah sebahagian promosi single terbaharunya, Bila Nak Kahwin?
Justeru tatkala bertemu empat mata dengan wanita berasal dari Skudai, Johor Bahru itu baru-baru ini, Sinarplus ajukan mengenai pujian peminat terhadapnya.

Tidak seperti segelintir wanita yang mungkin mudah hanyut dengan pujian, pemilik nama penuh Nadia Amira Othman itu ternyata berbeza.
"Saya juga manusia yang tidak lari daripada melakukan salah silap, mungkin ALLAH juga yang bantu saya. Saya tidak mahu leka dengan pujian.
"Takut juga kalau ada ujian untuk saya di masa depan, Naudzubillahimindzalik. Memang saya sentiasa ingatkan diri untuk jaga perilaku kerana saya membawa nama baik ibu, ayah, keluarga dan seorang wanita Islam," ujarnya.
Tambah anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu, beliau sebolehnya enggan mengulas panjang dengan pujian orang lain dan berharap sentiasa berada dalam doa sesiapa sahaja.
"Terima kasih di atas doa yang baik-baik, saya pun perlukan doa semua orang. Harap saya akan terus dilindungi daripada perkara yang tidak elok.
"Kalau ada sedikit pujian, saya bersyukur dan berharap terus didoakan yang baik-baik," jawabnya penuh sopan.
Memandangkan 2025 baru sahaja menjelma, rasa tidak lengkap andai tidak diajukan harapan dan impiannya untuk tahun baharu ini.
Ujar bintang yang mula dikenali menerusi drama Abang Bomba I Love You itu, beliau berharap tahun 2025 ini karier seninya bertambah baik dan punya graf menaik berbanding sebelum ini.
"Harapnya lebih bersinar, jadi orang yang bersyukur dan saya mahu lebih agresif dari segi kerjaya. Insya-ALLAH saya akan terus berusaha untuk pastikan prestasi saya ada peningkatan.
"Insya-ALLAH saya usaha yang baik-baik, tetapi pada akhirnya rezeki itu datang dari ALLAH," katanya lagi yang turut meluahkan rasa syukur apabila dilantik sebagai duta Jakel 2025.
Pesanan dan peringatan
Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Amira kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul 'Bila Nak Kahwin?'.
Diedarkan oleh Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures, lagu ini adalah hasil ciptaan dua komposer terkemuka, Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri.
Berkongsi mengenai pemilihan lagu 'Bila Nak Kahwin?' sebagai single baharunya, Amira berkata, lagu tersebut mungkin boleh dikaitkan dengan ramai orang.
“Saya yakin lagu ini sangat ‘relatable’ dengan ramai orang di luar sana, secara tidak langsung ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dengan harapan ia menjadi pendorong serta semangat buat mereka yang sentiasa berdepan dengan situasi tersebut.
"Lagu ini pada saya bukan sindiran tetapi pesanan dan peringatan bukan untuk orang luar sahaja, tetapi untuk saya juga," jelasnya yang mahu mengembalikan mode lagu terdahulu seperti ‘Hati Hati’ dan ‘Jaga Jaga’.
Melalui single ini, Amira berharap mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi akan dapat disampaikan kepada para pendengar.
“Saya ingin mengingatkan pada semua bahawa jodoh, rezeki dan masa depan kita kesemuanya adalah ketentuan dari Tuhan. Jadi, saya harap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sering berdepan soalan sama seperti saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!