Rezeki 167 pesakit dialisis dapat angpau RM1,100

Tian Hock memberi angpau kepada pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Perubatan Mawar.
Tian Hock memberi angpau kepada pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Perubatan Mawar.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 167 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di Pusat Perubatan Mawar di sini mendapat durian runtuh apabila diberi angpau bernilai RM1,100 pada Jumaat.

Rezeki tidak disangka-sangka itu diberi pihak hospital berkenaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Salah seorang pesakit, Halaludin Abd Majid, 62, berkata, pertama kali dalam sejarah hidupnya menerima duit raya daripada pihak hospital.

"Saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu, cumanya baru 10 bulan saya jalani rawatan dialisis di hospital ini.

"Tak sangka pula sempena Tahun Baharu Cina ini semua pesakit tanpa mengira kaum diberi duit raya dan lagi mengejutkan nilainya agak besar iaitu RM1,100 setiap seorang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Halaludin (kanan) gembira menerima angpau disampaikan Tian Hock.
Halaludin (kanan) gembira menerima angpau disampaikan Tian Hock.

Dia yang tinggal di Gadong, Labu mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital atas pemberian berkenaan dan akan menggunakannya sebaik mungkin.

Choo Ei Lee, 61, yang baru tiga bulan menjalani rawatan dialisis di situ menganggap pemberian duit raya berkenaan sangat bernilai baginya lebih-lebih lagi dia tidak lagi bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Saya dari Pulau Pinang dan datang ke sini dengan bantuan kakak yang tinggal di Seremban. Saya juga tidak pernah berkahwin.

"Baru tiga bulan buat rawatan di sini, dapat pula duit raya. Terima kasih saya ucapkan kerana saya amat memerlukannya untuk membuat persediaan raya tidak lama lagi," katanya.

Tian Hock (tengah) bersama sebahagian pesakit dialisis di Pusat Perubatan Mawar.
Tian Hock (tengah) bersama sebahagian pesakit dialisis di Pusat Perubatan Mawar.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusat Hemodialisis Mawar, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, pemberian duit raya berkenaan pertama kali dilakukan pihaknya membabitkan nilai keseluruhan RM183,700.

Ujarnya, ia merupakan hasil daripada keuntungan selepas cukai diperoleh pihaknya dengan pendapatan keseluruhan tahun lalu bernilai RM3.83 juta.

"Tiap-tiap tahun sememangnya kita bagi sumbangan kepada pesakit yang jalani rawatan dialisis di sini dan ia juga bergantung kepada keuntungan yang diperolehi.

"Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit tekanan yang dihadapi pesakit kami dan juga sebagai tanda ingatan kepada mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!