Lelaki dipukul individu dipercayai majikan selepas mengadu sakit

SHAH ALAM - Gara-gara mengadu sakit, seorang lelaki dipukul individu dipercayai majikannya di sebuah jeti dipercayai di Pulau Ketam, Klang menerusi satu video yang tular pada Jumaat.
Video berdurasi 54 saat itu mulanya memaparkan mangsa tiba di jeti berkenaan sebelum memaklumkan kepada individu terbabit bahawa dirinya sedang sakit.
Individu terbabit yang dilihat duduk di atas tong ais kemudiannya bangun sebelum menumbuk mangsa berkali-kali sehingga mengakibatkan mangsa terjatuh.
Mangsa bagaimanapun tidak melawan sebaliknya hanya membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sedemikian.
Ruangan komen di halaman Facebook yang mengandungi video berkenaan dipenuhi dengan kecaman berkaitan tindakan yang dilakukan individu berkenaan.
Rata-rata pengguna meminta supaya pihak polis mengambil tindakan terhadap pelaku dan berharap mangsa dapat diberikan pembelaan sewajarnya.
Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan pihak polis berkaitan kejadian yang tular itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!