Liverpool sedia harungi ranjau Forest

Arne Slot
Arne Slot
A
A
A

PENDAHULU Liverpool sudah bersedia meraih kembali keputusan positif apabila berkunjung ke Stadium City Ground gelanggang keramat Nottingham Forest untuk aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi Rabu.

Malah, pengendali The Reds, Arne Slot menyifatkan aksi menentang anak buah Nuno Espirito Santo sesuatu yang istimewa selepas rekod tanpa kalah Liverpool dileburkan Forest hasil jaringan Callum Hudson-Odoi, 14 September lalu.

“Saya selalu berkata anda boleh menilai pasukan terbaik berdasarkan kedudukan pertengahan musim ini. Mereka (Forest) kini berada di sana dengan kata lain mereka sudah pastinya bersedia bersaing dengan kami dan yang lain.

“Dan sekiranya anda melihat cara bermain dan keputusan mereka sejak kebelakangan ini sesungguhnya ia sesuatu yang wajar.

“Ia akan menjadi satu cabaran yang sangat hebat bagi kami untuk mendapatkan keputusan positif apabila bermain di sana,” kata Slot.

Mengenai kemenangan diraih Forest di Stadium Anfield sebelum ini, Slot mengakui kekalahan tersebut satu tamparan kepada pemain-pemain Reds ketika itu tidak lagi memberi kesan kepada pasukan.

“Saya menjangkakan suasana di City Ground akan lebih sengit sejak dari awal permainan, jadi adalah penting untuk memastikan pemain sentiasa fokus.

“Mereka (Forest) adalah pasukan yang sukar melepaskan gol, selain tidak mengambil banyak risiko dalam permainan.

Artikel Berkaitan:

“Jadi apabila mereka kehilangan bola, mereka mempunyai ramai pemain di belakang bola dan mereka bertahan dengan 11 pemain,” katanya.

Liverpool mendahului kedudukan Liga Perdana Inggeris dengan 46 mata daripada 19 perlawanan, enam mata di hadapan Forest di tempat ketiga.

LIGA PERDANA INGGERIS

RABU (15 JANUARI)

Chelsea lwn Bournemouth, 3.30 pagi

West Ham United lwn Fulham, 3.30 pagi

Brentford lwn Manchester City, 3.30 pagi

Nottingham Forest lwn Liverpool, 3.30 pagi

KHAMIS (16 JANUARI)

Newcastle United lwn Wolves, 3.30 pagi

Everton lwn Aston Villa, 3.30 pagi

Leicester City lwn Crystal Palace, 3.30 pagi

Arsenal lwn Tottenham Hotspur, 4 pagi

JUMAAT (16 JANUARI)

Ipswich Town lwn Brighton, 3.30 pagi

Manchester United lwn Southampton, 4 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!