Pahang minta tingkat penguatkuasaan di Tapak Ramsar Tasik Bera

Wan Rosdy -Foto Bernama
Wan Rosdy -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meminta kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan jabatan-jabatan berkaitan agar meningkatkan aspek penguatkuasaan di Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.

Tindakan penguatkuasaan itu bagi menjamin kelestarian tapak Ramsar daripada pencemaran, kemusnahan alam sekitar dan aktiviti haram yang boleh menjejaskan kekayaan flora dan fauna.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak Ramsar yang berkeluasan 31,255 hektar sepatutnya terpelihara alam sekitarnya memandangkan kewujudan zon penampan seluas kira-kira 77,380 hektar yang mengelilinginya.

Menurutnya, kerajaan negeri amat menekankan kepentingan aspek penguatkuasaan di tapak Ramsar dan berharap Jabatan Perhilitan sebagai jabatan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) yang dilantik mengetuai Unit Pengurusan Tapak Ramsar Tasek Bera (UPTRTB) dapat meningkatkan aspek penguatkuasaannya di kawasan itu.

“Sejak UPTRTB diwujudkan pada tahun 1999, semua perancangan pembangunan di Tasik Bera mestilah berpandukan kepada pelan Pengurusan Bersepadu Tasik Bera sepertimana disediakan oleh Wetlands International Asia Pacific.

“Pelan Pengurusan Bersepadu Tapak Ramsar Tasik Bera disediakan Jabatan Perhilitan dengan kerjasama KATS dan kerajaan negeri diperkenalkan tahun lalu bertujuan memastikan semua pelaksanaan pembangunan mampan di tasik itu dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, selain itu, Rancangan Kawasan Khas (RKK) mengenai pengurusan pembangunan bagi pemuliharaan tapak Ramsar juga disediakan Majlis Daerah Bera (MDB) dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Pahang (PlanMalaysia@Pahang).

“RKK ini bermatlamat untuk mengukuhkan aspek pemuliharaan tapak Ramsar serta memastikan pembangunan di kawasan persekitaran terutamanya penempatan orang asli tidak menjejaskan tapak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Melalui inisiatif-inisiatif di bawah RKK ini, sepatutnya isu pencemaran alam sekitar di tapak Ramsar ini tidak berlaku namun sebaliknya masih ada laporan mengenai pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar dilaporkan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 22 rondaan penguatkuasaan dijalankan Jabatan Perhilitan sepanjang tahun lalu.

“Tindakan itu bagi memastikan tidak berlaku pembalakan haram, memusnahkan jerat binatang dan pondok pemburu haram serta menjalankan pemeriksaan ke atas orang awam yang masuk ke kawasan berkenaan,” katanya.