Polis masih kesan dua remaja 14 tahun hilang

KUANTAN - Polis lagi masih menjejak dua remaja lelaki dan perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang di dua lokasi berasingan iaitu Cameron Highlands dan Genting Highlands, Bentong.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata,siasatan awal mendapati tiada unsur penculikan dalam kejadian yang dilaporkan pada 29 Disember dan 3 Januari lalu.

Menurutnya, bagi kes di Cameron Highlands, Tan Joon Tien dilaporkan hilang dari sebuah asrama yang dihuninya di Brinchang pada 28 Disember lalu.
"Difahamkan remaja itu mengikuti kumpulan keagamaan di kawasan terbabit.
"Setakat ini, kita masih melakukan siasatan bagi mengesan termasuk melakukan siasatan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulan Januari Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Isnin.
Merujuk kes di Bentong pula beliau menjelaskan, Nur Hidayatul Iman Abdullah dilaporkan hilang ketika bercuti bersama rakan di sebuah apartmen, Genting Highlands pada 31 Disember lalu.
"Laporan kehilangan ini dibuat oleh ahli keluarganya pada 3 Januari lalu selepas remaja terbabit tidak pulang ke rumah.
"Kita masih belum mendapat sebarang maklumat lanjut dan berharap CCTV dapat membantu," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua remaja itu memaklumkan kepada ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands dan Bentong atau balai polis berhampiran.
Pada 4 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar meminta orang ramai mengesan Nur Hidayatul Iman Abdullah selepas kehilangan remaja itu dilaporkan oleh abangnya pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli pada Ahad turur memaklumkan kehilangan Joon Tien setelah menerima aduan daripada ibu saudaranya kira-kira 10 pagi 29 Disember lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://www.sinarharian.com.my/article/706737/berita/semasa/polis-mohon-bantuan-kesan-tan-joon-tien
https://www.sinarharian.com.my/article/705376/berita/semasa/polis-mohon-kerjasama-kesan-nur-hidayatul
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

