Peniaga ditahan jual 47 pucuk senjata api tiruan

Yahaya - FOTO: SINAR HARIAN
Yahaya - FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan seorang peniaga kerana dipercayai menjual 47 pucuk senjata api tiruan di sebuah rumah di daerah ini pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penahanan lelaki itu dibuat di rumahnya selepas mendapat maklumat berhubung aktiviti penjualan senjata secara dalam talian.

Bagaimanapun, menurutnya, lelaki berusia 35 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah seminggu ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan turut mendapati lelaki terbabit tiada rekod jenayah dan kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, di sini pada Isnin.

Yahaya turut menjelaskan, senjata api tiruan dipercayai diimport itu menyerupai senjata api yang asli.

"Senjata terbabit lebih kepada mainan tapi bentuknya menyerupai senjata asli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!