Budak 7 tahun maut didera: Ibu, teman lelaki ditahan

Kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya semasa di rumah. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Azam)
Kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya semasa di rumah. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Azam)
A
A
A

AMPANG - Seorang ibu dan teman lelakinya yang disyaki mendera anak kandung berusia tujuh tahun ditahan di Taman Bukit Ampang, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 2.36 petang.

"Seorang wanita mendakwa anaknya yang sedang tidur tidak lagi bernafas. Sepasukan anggota kemudian ke lokasi kejadian untuk tindakan awal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya semasa di rumah.

"Mangsa mengalami kecederaan seperti kesan-kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki disyaki dipukul dengan benda keras serta tumpul secara berulang," katanya.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di rumah telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah kerana pendarahan di dalam kepala," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan wanita berkenaan dan teman lelakinya berusia 25 dan 36 tahun pada jam 5.15 petang, hari sama.

Artikel Berkaitan:

"Saringan ujian air kencing mendapati hanya lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Semakan juga mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau tidak dikehendaki," ujarnya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!