Polis buru suspek curi duit dalam kereta tak berkunci

IPOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki terlibat dalam kejadian curi di sebuah rumah di Taman Klebang Putra, Chemor di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian itu tular di media sosial sejak Selasa dan mangsa seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun telah tampil membuat laporan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek memasuki pekarangan hadapan rumah tersebut dengan memanjat tembok rumah jiran.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan lelaki itu masuk ke dalam kereta milik isteri mangsa yang tidak berkunci dan melarikan wang yang diletakkan dalam dashboard kereta," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan lanjut bagaimanapun mendapati, tiada kerosakan lain pada kereta atau kesan umpilan pada mana-mana pintu rumah berkenaan.
"Polis maklum akan video yang tular itu dan sedang giat mengesan lelaki terlibat dalam kejadian ini.
"Siasatan kes dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.
Kata beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ibrahim Ab Wahab di talian 019-8225877 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam rakaman tular berdurasi 32 saat itu, seorang lelaki memakai baju hud dan bertopi menyelinap masuk ke sebuah rumah.
Suspek dalam keadaan mencurigakan telah bertindak membuka pintu sebuah kereta dan masuk ke dalam kenderaan itu dipercayai bagi tujuan mencuri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

