TNB eskport TBB ke Singapura, pacu peralihan tenaga di ASEAN

Akmal Nasrullah membuat tetapan saling hubung bekalan tenaga Malaysia-Singapura bagi memulakan eksport TBB TNB ke Singapura NLDC TNB.
Akmal Nasrullah membuat tetapan saling hubung bekalan tenaga Malaysia-Singapura bagi memulakan eksport TBB TNB ke Singapura NLDC TNB.
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memulakan eksport sulung bekalan tenaga boleh baharu (TBB) ke Singapura pada Jumaat.

Syarikat itu memaklumkan, ia merupakan detik bersejarah yang mengukuhkan dedikasi syarikat elektrik nasional itu untuk mempercepatkan transformasi tenaga ASEAN.

Menurutnya, elektrik merentasi sempadan dua negara dicapai dalam tempoh empat hari selepas TNB dan syarikat pengimport bekalan elektrik berlesen Singapura, Sembcorp Power Pte Ltd, menandatangani Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) pada 9 Disember lalu.

"Di bawah perjanjian tersebut, Singapura bersetuju mengimport 50 megawatt (MW) tenaga hijau yang disertakan Sijil TBB (RECs).

Akmal Nasrullah menyaksikan eksport TBB ke Singapura di NLDC TNB.
Akmal Nasrullah menyaksikan eksport TBB ke Singapura di NLDC TNB.

"Tenaga hijau itu adalah hasil proses bidaan yang dilaksanakan oleh Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) pada Jun lalu.

"Urusniaga tersebut merupakan sebahagian daripada Skim Jualan Elektrik Rentas Sempadan untuk Tenaga Boleh Baharu (CBES RE) yang sejajar dengan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) dan matlamat peralihan tenaga Malaysia," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Detik bersejarah itu disaksikan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir di Pusat Kawalan Muatan Kuasa Nasional (NLDC) di ibu pejabat TNB, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Akmal Nasrullah berkata, eksport bekalan TBB dengan RECs ke Singapura adalah sebahagian daripada inisiatif PETRA di bawah Skim CBES RE.

"Ia berjaya dilaksanakan dengan sokongan dan usaha sama antara Suruhanjaya Tenaga, Grid System Operator, Single Buyer yang mengendalikan ENEGEM dan Sembcorp.

"Eksport bekalan tenaga hijau ke Singapura memperteguhkan lagi usaha sedia ada negara anggota ASEAN untuk menjayakan APG dengan menyasarkan sistem bekalan tenaga mampan dan saling berhubung untuk rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, 50MW tenaga yang dieskport akan memperkuatkan usaha Malaysia ke arah penyahkarbonan dengan menggalakkan pelaburan baharu dalam TBB berskala besar oleh pemain industri elektrik serta TNB.

TNB catat detik bersejarah dengan bermulanya eksport sulung TBB ke Singapura pada Jumaat.
TNB catat detik bersejarah dengan bermulanya eksport sulung TBB ke Singapura pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, kapasiti saling hubung untuk bekalan elektrik antara Malaysia dan Singapura sedia ada adalah pada 1,000MW.

Daripada jumlah itu menurutnya, 300MW diperuntukkan untuk Skim CBES RE dan 200MW bagi Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapore Power (LTMS-PIP) Fasa 2 dan hanya 50MW dieksport di bawah CBES RE.

"Bekalan sulung 50MW itu mencerminkan kesungguhan TNB untuk mempercepatkan matlamat tenaga lestari ASEAN dan memperkukuhkan integrasi tenaga di rantau ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!