Tidak wujud konspirasi menentang Ketua Menteri - Jeffrey
KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan bahawa tidak wujud sebarang konspirasi untuk menentang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri mengambil maklum mengenai video yang tersebar di media sosial yang menuduhnya bersubahat untuk menentang Hajiji.
"Tangkap layar yang dirujuk, didakwa diambil pada 1 November 2024, menampilkan sebahagian perbualan yang dipetik di luar konteks dan dijadikan sebagai sokongan palsu kepada tuduhan tersebut.
"Tiada konspirasi seperti itu yang wujud atau pernah wujud. Tuduhan itu adalah palsu, mengelirukan, dan bermotifkan politik," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau percaya tuduhan itu bertujuan memecahbelahkan mereka dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakyat Sabah menjelang pilihan raya negeri.
"STAR dan saya telah memberikan sokongan penuh kepada Hajiji untuk menjadi Ketua Menteri pada tahun 2020 dan sejak itu sokongan kami tidak pernah goyah walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
"Tuduhan ini nampaknya disusun seiring dengan tuduhan tidak berasas baru-baru ini terhadap kerajaan negeri Sabah, yang kini dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.
Sehubungan itu, Jeffrey percaya bahawa pihak berkuasa akan mendedahkan kebenaran pada masa yang sesuai.
"Saya tetap komited untuk memupuk perpaduan, kestabilan politik dan pembangunan berterusan Sabah.
"Sebarang percubaan untuk memacu perpecahan antara pemimpin yang berusaha ke arah Sabah yang lebih baik tidak akan berjaya.
"Saya juga menyeru orang ramai supaya berwaspada terhadap maklumat yang salah dan tidak terpedaya dengan penceritaan berniat jahat yang bertujuan menggugat kestabilan kerajaan negeri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!