Pasangan kekasih curi tabung derma dicekup

Sebahagian tabung derma yang dicuri oleh pasangan kekasih (gambar kecil) terbabit.
Sebahagian tabung derma yang dicuri oleh pasangan kekasih (gambar kecil) terbabit.
A
A
A

MELAKA - Kegiatan sepasang kekasih mencuri tabung derma anak yatim dan madrasah, terbongkar selepas dicekup polis dalam serbuan di sebuah kondominium di Klebang di sini, awal pagi Sabtu lalu.

Suspek lelaki berusia 33 dan kekasihnya berusia 35 tahun ditahan lebih kurang jam 12.10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan Balai Polis Tengkera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat orang awam.

"Risikan yang dijalankan mendapati pasangan terbabit mampu memperolehi sekitar RM250 sehari dengan melakukan jenayah curi tabung derma.

"Mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak dua tahun lalu dengan mensasarkan premis seperti kedai makan dan kedai runcit di sekitar Johor, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Katanya, pasangan itu akan ke premis berkenaan dan berpura-pura sebagai wakil pihak madrasah, pondok dan rumah anak-anak yatim untuk mengambil tabung derma.

Alat pemotong besi turut dirampas dalam serbuan itu.
Alat pemotong besi turut dirampas dalam serbuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil tangkapan yang dilakukan menemukan sebanyak 54 tabung derma yang dianggarkan keseluruhan wang tunai RM10,800 selain satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat lapan gram.

"Turut dirampas sebuah kenderaan dan juga alat pemotong besi," katanya.

Mengulas lanjut Christopher Patit berkata, pasangan terbabit mengaku menyewa sebuah bilik studio di kondominium itu dengan kadar bayaran RM80 sehari.

Ujarnya, polis membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955

"Kedua-dua suspek yang mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dikesan baru bergerak aktif di Melaka sejak kira-kira dua bulan lalu dan kini ditahan reman untuk membantu siasatan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!