Selangor rancang pertandingan memancing sempena TMS 2025

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor merancang menjadikan pertandingan memancing sebagai aktiviti Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025).
Rancangan tersebut bertujuan bagi mempromosikan agro pelancongan di negeri berkenaan selari dengan pelan tindakan di bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTa).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, hasrat tersebut dicadangkan selepas melihat sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada orang ramai.
“Sambutan pertandingan ini sangat menggalakkan. Kira-kira 800 peserta mengambil bahagian termasuk dari luar Selangor.
“Kerajaan negeri sedang merancang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai satu daripada acara Tahun Melawat Selangor 2025 dengan hadiah lebih lumayan.
“Lima daerah di Selangor mempunyai pantai yang sesuai bagi pertandingan memacing iaitu Pantai Bagan Lalang, Sepang, Pantai Kelanang di Kuala Langat, Tanjung Harapan, Pantai Remis dan Pantai Sungai Lang. Empat daerah mempunyai tasik yang turut sesuai bagi aktiviti memancing,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Lwi Kian Keong; Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil dan Pengarah LKIM Selangor, Siti Hawa Delaila Tukiran.

Sementara itu, menurut Izham, Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang yang diadakan baru-baru ini telah menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM53,000.
Tambah beliau,juara pertandingan tersebut disandang oleh Mohd Akmal Ridiwan yang menaikkan ikan gemang seberat 1.23 kilogram (kg), sekaligus membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000.
Beliau berkata, tempat kedua disandang oleh Rashidi Mohamad yang menaikkan ikan Daun Baru seberat 1.06kg dan menerima RM4,000 dan tambahan RM1,000 sebagai warga Selangor.
Tambahnya, tempat ketiga pula disandang oleh Suria Mat Sahar membawa yang membawa pulang RM2,000 dan tambahan RM500 sebagai warga Selangor.
Dalam pada itu, penganjur turut menyediakan 50 hadiah cabutan bertuah serta tiga cabutan bonanza televisyen 32 inci.
“Bagaimanapun, Mohd Akmal gagal membawa pulang tambahan RM2,000 yang ditawarkan penganjur kepada peserta yang bermastautin di negeri ini.
“Berikutan peserta yang tidak berganjak ketika acara sampai di penghujung, penganjur membuat keputusan menjadikan hadiah wang tunai yang tidak dimenangi bagi kategori Anak Selangor sebanyak RM2,600 sebagai cabutan bertuah.
“Pihak Wak Jali Event juga menambah RM1,000 lagi sebagai cabutan bertuah kepada pemenang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
