Pengutip besi didakwa rogol, amang seksual remaja
MELAKA - Seorang pengutip besi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun.
Tertuduh berusia 38 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didapati telah merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa kerelaannya.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun sehingga 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Manakala bagi tuduhan kedua, dia didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tubuh mangsa sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes ini merupakan satu kesalahan yang serius.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan jaminan RM10,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara serta syarat tambahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan terhadapnya kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap selain hanya bekerja sebagai pengutip besi serta badut menjual belon untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes serta lantikan peguam pada 14 Januari depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!