Ibu bapa mahu diberi akses CCTV taska
SHAH ALAM - Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan perlu dihubungkan dengan aplikasi telefon pintar ibu bapa bagi membolehkan mereka memantau sendiri keadaan anak di tempat kerja.
Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata ibu bapa mahu pengusaha taska menyediakan CCTV berikutan terdapat kes penderaan dan kecuaian berlaku kepada anak-anak ketika ditinggalkan di bawah pengawasan pengasuh.
Malah bagi mereka langkah itu dilihat lebih berkesan untuk mengatasi sebarang kejadian yang tidak diingini kepada anak mereka.
Suri rumah, Noor Azura Sahril, 40, berkata, pemasangan CCTV di taska sangat penting supaya dapat melihat perkembangan dan sikap anak-anak dari masa ke masa.
“Pada saya CCTV memang perlu, kita sebagai ibu bapa sudah pasti nak tahu bagaimana anak ketika berada di taska tidak kira di mana kita berada.
“Kadang-kadang apa yang disampaikan oleh pengasuh mengenai kelakuan anak-anak tidak secara keseluruhan, mereka kata tiada masalah namun sebaliknya,” katanya.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan taska berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska yang menempatkan anak-anak mereka.
Sementara itu, kakitangan swasta, Siti Norfazlina Azmi, 35, berpendapat, CCTV yang dipasang di taska perlu dipastikan sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi setiap masa.
“Jangan pula hanya jadikan perhiasan di taska atau sekadar untuk memberi gambaran positif semata-mata sedangkan ia tidak berfungsi.
“Ini kerana terdapat isu apabila berlaku kes kecuaian dan penderaan, mahu lihat CCTV tetapi rosak pula.
“Jadi, saya harap pengusaha taska akan sentiasa memeriksa dan pastikan kemudahan itu beroperasi sepanjang masa dan dalam masa sama ibu bapa juga harus mengambil berat mengenainya,” ujarnya.
Bagi penjawat awam, Aida Hayati Aziz, 34, selain memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing, pendekatan lebih baik supaya dapat menjamin keselamatan anak-anak adalah dengan memasang CCTV.
“Ini kerana ia dapat mengelakkan pengabaian pengasuh terhadap anak-anak dan kes buli dalam kalangan anak-anak di situ.
“Bila ada kemudahan itu, sudah pasti pengasuh akan menjalankan tugas dengan sebaiknya.
“Selain itu, setiap rakaman menerusi CCTV dapat dijadikan bukti sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” ulasnya.
Seorang peniaga, Noor Hafiza Che Abdullah, 36, yang anak perempuannya berusia tiga bulan meninggal dunia akibat kecuaian pengasuh pada tahun 2017 berpendapat, pemasangan CCTV menunjukkan ketelusan sesebuah taska dalam menjaga anak-anak.
“Saya rasa perlu mewajibkan taska memasang CCTV yang boleh dihubungkan dengan aplikasi telefon pintar ibu bapa. Sekarang sudah ada pelbagai jenis, boleh pilih ikut kemampuan.
“Dari situ, ibu bapa boleh memantau pergerakan anak mereka dan apa yang dilakukan oleh pekerja taska. Mungkin tragedi dera atau kecuaian dapat dielakkan,” kongsinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!