Kopi Saigon nafi ada kaitan dengan Siti Mastura
SHAH ALAM - Rangkaian kedai kopi Vietnam, Kopi Saigon menolak dakwaan bahawa Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad mempunyai kaitan dengan jenama berkenaan.
Kopi Saigon dalam satu kenyataan berkata, kunjungan Siti Mastura ke cawangan di Penaga, Pulau Pinang baru-baru ini merupakan inisiatif beliau sendiri tanpa sebarang jemputan rasmi.
“Kandungan yang dimuat naik ke akaun media sosial milik beliau juga merupakan inisiatif sendiri untuk mempromosikan perniagaan tempatan di kawasan Parlimen Kepala Batas dan tiada sebarang bayaran atau imbuhan yang diberikan oleh pihak Kopi Saigon.
“Sehubungan itu, pihak Siti Mastura telah pun menurunkan kandungan tersebut bagi mengelakkan sebarang salah faham atau kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu pada Sabtu.
Sebelum ini, Siti Mastura memuat naik video yang memaparkan beliau pergi ke rangkaian Kopi Saigon di Penaga dan mempromosikan cawangan berkenaan.
Rakaman berkenaan turut menunjukkan beliau sempat beramah-mesra bersama pengunjung yang hadir.
Pada masa sama, Kopi Saigon turut menolak dakwaan sekeras-kerasnya berhubung Siti Mastura menerima komisen sebanyak 50 peratus daripada setiap cawangan Kopi Saigon.
Jelasnya, rangkaian kopi tersebut adalah sebuah jenama yang menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira sebarang fahaman politik.
“Pihak kami tidak mempunyai sebarang perhubungan dengan mana-mana parti politik di Malaysia. Kami berpegang teguh kepada prinsip neutral dan hanya memfokuskan kepada usaha-usaha untuk memperkasakan komuniti perniagaan tempatan.
“Pihak kami amat menghargai sokongan anda semua dan berharap agar isu ini tidak terus disalah tafsir. Kami berharap masyarakat akan lebih peka dan berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran di media sosial pada masa akan datang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!