Pengawal keselamatan maut kemalangan
KUANTAN - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Panching Utara berhampiran Kampung Sungai Atong di sini pada Jumaat.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa, Mohd Shah Rizan Dol Said, 39, beralamat dari Taman Seremban Jaya, Seremban, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dalam perjalanan dari arah Panching menghala ke bandar Kuantan.
"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas ke di tengah jalan.
"Pada masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah belakang tidak sempat membrek lalu terlanggar mangsa," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
"Sampel darah dan urin mangsa diambil untuk tujuan toksikologi.
"Pihak polis kini mengesan saksi di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!