Isma Aliff berhasrat jejak kaki ke Makkah
PENYANYI dan pelakon era 80-an, Isma Aliff, 60, yang kini sedang menjalani pemulihan setelah diserang angin ahmar pada Disember tahun lepas, bersyukur kerana keadaannya semakin pulih.
Katanya, beliau kini tidak lagi bergantung pada lampin pakai buang atau tiub, malah mampu menguruskan diri sendiri sedikit demi sedikit termasuk makan dan minum tanpa bantuan, sejak dua bulan lalu.
"Tahap kesihatan saya semakin baik, cuma gigil pada tangan masih belum pulih dan saya juga masih memerlukan tongkat empat kaki untuk berjalan.
"Namun, saya tetap bersyukur kerana ada lagi yang lebih teruk daripada saya,” kata Isma ketika ditemui di majlis Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat, anjuran Restoran Saloma Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.
Pada majlis itu, Isma Aliff antara lima artis veteran yang menerima sumbangan daripada Presiden Kumpulan Saloma Datin Rosmariza Che Umar, bersempena dengan pembukaan restoran tersebut.
Isma Aliff, atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember 2023 selepas mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru yang menyebabkan keadaannya kritikal.
Nasib yang menimpanya turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan peribadi pada Oktober lepas bagi membantu pelakon itu.
Isma berkata, pada masa ini beliau sedang melalui proses pemulihan di rumahnya seperti melakukan senaman harian selain menjalani rawatan akupunktur.
"Dari segi kewangan, alhamdulillah. Semuanya mencukupi. Saya boleh makan dan minum dengan baik. Ubat-ubatan pula disediakan oleh hospital, cuma rawatan akupunktur dan urutan yang perlu dibayar. Saya juga menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 serta bantuan individu,” tambahnya.
Sementara itu, Isma yang mencipta nama dengan filem Kembar Siam dan Marah-marah Sayang menyimpan hasrat untuk menunaikan umrah atau haji apabila kesihatannya benar-benar pulih nanti.
"Sekiranya saya sembuh dan ada rezeki, saya ingin menjadi tetamu ALLAH. Sepanjang hidup saya, saya belum berpeluang ke Makkah, walaupun pernah mendapat tawaran ketika saya sihat dulu, tetapi terpaksa menolak kerana urusan kerja,” jelasnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!