X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah sedia pertahan Unity Shield bertemu Perak

Perlawanan Unity Shield bertemu Perak mampu menguji dan memantapkan lagi persefahaman pemain-pemain Kedah.
A
A

KEDAH sedia mempertahankan Unity Shield menjelang perlawanan edisi kedua walaupun sedar Perak mempunyai kelebihan selaku tuan rumah pada malam esok di Ipoh.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, pasukannya hadir selaku pasukan bukan pilihan, namun bersedia untuk memberikan aksi terbaik kepada The Bos Gaurus yang dibimbing ketua jurulatih berpengalaman, Mehmet Durakovic.

Menurutnya, pada waktu yang sama pemain-pemainnya juga perlu berwaspada dan mengelakkan kecederaan kerana juga dalam persediaan menghadapi Juara Liga Super 2019, JDT bagi aksi Piala Sumbangsih 2020 di laman lawan pada 28 Februari ini.

"Kami sudah tentu mahu melakukan yang terbaik selain mahu mengekalkan rekod memenangi perisai ini seperti dimenangi pada tahun yang lalu.

Aidil Sharin mahu pemainnya beraksi dengan baik bertemu Perak, namun pada waktu yang sama perlu mengelakkan kecederaan. - Foto Ahmad Zaki Osman
Aidil Sharin mahu pemainnya beraksi dengan baik bertemu Perak, namun pada waktu yang sama perlu mengelakkan kecederaan. - Foto Ahmad Zaki Osman

"Setakat ini pemain saya cukup fokus, bekerja keras dan mereka tahu apa yang perlu dibuat pada perlawanan tersebut. Kami akan berusaha untuk menang tetapi dalam masa sama juga mahu mengelakkan kecederaan bagi menghadapi JDT untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah minggu depan," katanya kepada media sebelum sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini semalam.

Aidil Sharin berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada semua pemain dan yang terbaik sahaja yang akan berjaya merebut kesebelasan utama pasukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain.

Sementara itu, ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau percaya pertemuan bertemu Perak menjadi medan terbaik dalam menguji persefahaman sebelum aksi penting bertemu pasukan gergasi tanah air, JDT.

Jelasnya, keserasian dalam kalangan pemain masih dicari dan diperkukuhkan oleh pasukan jurulatih untuk mencari kombinasi terbaik bagi menghadapi saingan Piala Malaysia 2020.

"Setakat ini kita masih terus mencari rentak dan keserasian. Saya melihat keserasian pasukan baru berada pada tahap 60 peratus dan kami akan berusaha gigih memantapkannya lagi menerusi latihan dan perlawanan akan datang," katanya.