Mekanik maut dilanggar treler ketika tukar tayar

Tayar treler yang sempat dibuka mangsa sebelum dilanggar sebuah treler lain di Kilometer 84.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira jam 9.15 malam tadi.
Tayar treler yang sempat dibuka mangsa sebelum dilanggar sebuah treler lain di Kilometer 84.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara kira-kira jam 9.15 malam tadi.
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang mekanik maut dilanggar sebuah treler ketika menukar tayar sebuah treler lain di Kilometer 84.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, Lai Wen Zhong, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurutnya, terdahulu sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun mengalami masalah pada tayar belakang sebelah kanan sebelum menghubungi mangsa untuk membuka tayar berkenaan dan menggantikannya dengan tayar baharu.

“Ketika mangsa membuka tayar yang rosak itu, secara tiba-tiba datang sebuah treler lain dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun dari arah belakang dan melanggarnya.

“Mangsa terperosok ke bawah treler berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi proses bedah siasat.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: