Duta Jepun puji kemajuan Malaysia, kukuh hubungan dua hala

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi. Foto Bernama
Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi menyuarakan keyakinannya terhadap kemajuan Malaysia ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi sambil menekankan beberapa bidang utama, dan pengalaman Jepun boleh membantu Malaysia menangani cabaran yang mendatang.

Takahashi menegaskan kepentingan pelaburan awal dalam penjagaan kesihatan, keselamatan sosial, dan daya tahan terhadap bencana.

Beliau merujuk kepada strategi Jepun dalam pengurusan populasi yang semakin tua serta persiapan menghadapi bencana sebagai model yang boleh berpotensi.

"Secara demografi, Jepun adalah 50 tahun lebih tua daripada Malaysia, jadi kami telah mencapai kemajuan dalam pengurangan risiko bencana dan keselamatan sosial, yang boleh menjadi manfaat untuk pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Sepanjang hampir tiga tahun perkhidmatannya, Takahashi menyaksikan peningkatan ketara dalam hubungan Jepun-Malaysia, yang dimeterai dengan penubuhan perkongsian strategik komprehensif.

Perkembangan ini membuka ruang kerjasama dalam bidang keselamatan, termasuk latihan dua hala tentera laut pertama di Laut China Selatan dan pemberian Bantuan Rasmi Keselamatan (OSA) oleh Jepun kepada Malaysia.

"Pemberian OSA kepada Malaysia menandakan satu langkah penting ke hadapan,” kata Takahashi sambil menekankan kepentingan kestabilan serantau yang diberi perhatian oleh Jepun.

Kerjasama dalam bidang pendidikan juga menjadi aspek penting semasa tempoh perkhidmatannya, dengan pembukaan cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Takahashi memuji institusi terbabit atas potensinya melahirkan graduan yang berkemahiran melalui kaedah pengajaran Jepun, melengkapkan hubungan akademik sedia ada melalui institusi seperti Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Mengulas mengenai perkembangan Dasar Pandang Ke Timur, Takahashi menyifatkan ia telah berevolusi daripada tumpuan kepada sektor pembuatan kepada kerjasama dalam sektor nilai tinggi seperti kecerdasan buatan dan ekonomi hijau.

Beliau menyifatkan Malaysia sebagai peneraju dalam mencapai ekonomi hijau, dengan menyatakan bahawa inisiatif Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (AZEC) Jepun boleh menyokong projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

Ketika Malaysia bersiap sedia mempengerusikan ASEAN pada 2025, Takahashi memberi jaminan bahawa Jepun akan memberikan sokongan penuh khususnya dalam memajukan nilai bersama seperti kedaulatan undang-undang, perdagangan bebas dan keselamatan maritim, yang selari dengan Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan konsep Indo-Pasifik yang Bebas dan Terbuka (FOIP) Jepun.

Takahashi dijangka berlepas pada Rabu, meninggalkan legasi hubungan yang lebih kukuh serta usaha sama dalam pelbagai sektor.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Takahashi membina hubungan erat dengan komuniti tempatan dan sering berinteraksi melalui media sosial.

Walaupun akaun diplomatik X miliknya akan diserahkan kepada penggantinya, beliau merancang untuk terus berhubung melalui akaun peribadi, berkongsi pengalamannya dan meneruskan interaksi dengan rakyat Malaysia.

Duta itu turut mengimbau kenangan pengembaraannya di seluruh Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga ke Terengganu, dan meluahkan rasa cinta terhadap masakan tempatan, terutama Laksa Sarawak yang disamakannya dengan ramen Jepun.

Mengimbas kembali keramahan dan layanan mesra rakyat Malaysia, beliau berkata, "Jepun sangat dekat di hati rakyat Malaysia dan saya percaya hubungan ini hanya akan menjadi lebih erat."

"Sayonara, Malaysia. Anda akan dirindui,” kata Takahashi dengan penuh tulus, mengucapkan selamat tinggal yang mendalam dan penuh makna. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!