Perwakilan Rumah Ngaji lebih komited

Hussamuddin bergambar bersama wakil Rumah Ngaji dari seluruh Malaysia selepas menyampaikan amanat dan penyerahan anak pokok pada majlis Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia 2020 yang diadakan di Hotel TH. - Foto Rosli Talib
Hussamuddin bergambar bersama wakil Rumah Ngaji dari seluruh Malaysia selepas menyampaikan amanat dan penyerahan anak pokok pada majlis Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia 2020 yang diadakan di Hotel TH. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KELANA JAYA - Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia dilihat lebih komited untuk mengukuhkan objektif mewujudkan masyarakat berjiwa al-Quran.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, ramai peserta yang hadir sangat bersemangat bersama idea mereka.

“Persembahan mereka pada kali ini sangat menarik dan tahniah saya ucapkan. Ada yang mencetak gegantung dan menyenaraikan aktiviti serta kejayaan sepanjang tahun.

“Saya nampak hasilnya dan inilah impak tahun ketujuh penubuhan Rumah Ngaji di seluruh Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian selepas sesi penyerahan anak pokok merbau pada Majlis Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia 2020 di sini kelmarin.

Menurutnya, idea perwakilan Rumah Ngaji menggunakan teknik gegantung memberi gambaran jelas untuk memahami setiap tindakan mereka di negeri masing-masing.

“Kita nampak lebih jelas, sebab sebelum ini kita tidak pernah mempamerkan seperti ini tetapi lebih kepada impak dengan aktiviti yang mereka lakukan,” katanya.

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff

Menyentuh mengenai penyerahan anak pokok merbau oleh Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub kepada para perwakilan, Marhaini berkata, pokok yang diangkat sebagai pokok kebangsaan itu menjadi simbolik ke arah Malaysia harmoni.

Artikel Berkaitan:

“Kita mahu Reboot #MalaysiaHarmoni dengan penyerahan pokok. Ini bermakna penyerahan pokok adalah simbolik penyerahan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian di dalam negara ini. Keharmonian ini perlu disiram dan dibajai supaya terus subur dan terbina kukuh.

“Pokok merbau kalau kita baca falsafahnya menyentuh tentang daya tahan, bagaimana untuk lebih utuh, hendak membina ekonomi dan kita harap mereka bawa balik dan menjaga pokok ini sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, bagi wakil negeri Rumah Ngaji, mereka akan membawa pokok merbau ke negeri masing-masing dan ditanam serentak pada 13 Mei iaitu sebagai penghayatan dan solidariti berlangsungnya Hari Perayaan Reboot #MalaysiaHarmoni dan World #QuranHour.

Terdahulu, Program Retreat Perwakilan Rumah Ngaji Malaysia 2020 diadakan. Ia merupakan acara tahunan untuk semua penggerak Rumah Ngaji dari seluruh Malaysia.

Program tiga hari bermula semalam memberi ruang kepada penggerak Rumah Ngaji untuk berbincang dan meningkat inisiatif dalam Misi Ar-Rahman, bagaimana untuk membawa ke arah ‘dunia yang berbudi dan penyayang’ melalui gerakan berinteraksi dengan al-Quran, baca, faham dan amal.