MA63: Tuntutan berkaitan isu pendidikan Sabah masih dibincang

Fadillah Yusof
Fadillah Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tuntutan berkenaan isu pendidikan di Sabah masih dalam perbincangan walaupun telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah No.1/2024 yang diadakan pada 26 Ogos lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) dan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah.

"Isu pendidikan di Sabah melibatkan tuntutan yang diterima oleh KPM, termasuk infrastruktur pendidikan, pengurusan pendidikan, kurikulum, dan dasar pendidikan.

"Semua tuntutan berkaitan isu pendidikan di negeri Sabah akan dibawa untuk penelitian dan pertimbangan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah yang akan dipengerusikan secara bersama antara Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif) dalam tempoh terdekat,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Fadillah berkata demikian bagi menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan mengapa Kerajaan Sarawak sudah dapat memuktamadkan penurunan kuasa autonomi dalam bidang pendidikan di bawah Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sedangkan Kerajaan Sabah masih belum dapat memuktamadkan serta perincian tuntutan yang dikemukakan.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tuntutan berhubung pendidikan di Sabah dan Sarawak merupakan antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri serta, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 yang dipengerusikannya sendiri.

Beliau menjelaskan bahawa berkaitan isu pendidikan di Sarawak, sebahagian besar tuntutan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Bagi beberapa perkara lain yang masih memerlukan perbincangan lanjut, ia akan terus dibincangkan dalam mesyuarat di peringkat KPM.

"Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri (BHESS, JPM) selaku Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 akan terus memantau isu ini dengan semua pemegang taruh (stakeholders) di peringkat Persekutuan dan juga di peringkat Kerajaan Negeri Sabah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!