Warga emas, tiga ekor anjing rentung

Anggota polis forensik mengusung mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah.
Anggota polis forensik mengusung mayat mangsa sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas gagal menyelamatkan diri ketika sebuah rumah teres terbakar di Taman Rembia Perkasa di sini malam tadi

Mangsa Pon Yee Tian, 87, yang bersendirian di rumahnya ditemukan dengan keadaan badannya terbakar teruk dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 8 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Melaka, Zulkifli Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.22 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.

"Sebaik sahaja tiba, pasukan bomba terpaksa membuat tindakan pantas dengan memotong pokok-pokok di sekeliling rumah untuk memudahkan kerja-kerja pemadaman api dilakukan selain menghalang api dari terus marak ke rumah jiran mangsa.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di salah sebuah bilik tidur selepas dipercayai berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Zulkifli Nordin
Zulkifli Nordin

Menurutnya, berdasarkan maklumat saksi, sebelum kejadian itu mangsa membuat kerja-kerja pembersihan dalam kawasan rumah termasuk membakar sampah dan apabila api marak mangsa terus masuk ke dalam rumah.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya kebakaran bermula dari bahagian halaman rumah yang dikelilingi rimbunan pokok dan keadaan api yang marak turut mengakibatkan tiga ekor anjing belaan yang diletakkan di kawasan parkir rumah rentung dijilat api," katanya.

Katanya, kerja-kerja memadam kebakaran melibatkan 35 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, BBP Tangga Batu, sebuah lori tangki dan unit EMRS.

"Api berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira setengah jam dan mayat mangsa yang melecur 100 peratus itu kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya.

Keadaan rumah teres mangsa yang terbakar di Taman Rembia Perkasa di sini, malam ini.
Keadaan rumah teres mangsa yang terbakar di Taman Rembia Perkasa di sini, malam ini.

Sementara itu, jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa sudah dua tahun mendiami rumah itu dan sering mengumpul barangan lusuh termasuk kayu dan kertas terbuang sebagai aktiviti harian.

"Mangsa kerap kali didatangi pihak berkuasa tempatan (PBT) disebabkan keadaan persekitaran rumah yang tidak terurus namun mangsa hanya berdiam diri dalam rumah dan tidak membuka pintu.

"Masa api marak kami sangkakan pak cik itu keluar kutip barang-barang, tapi rupanya dia ada di dalam rumah. Ada juga jiran lain nak selamatkan anjing pak cik namun ketika membuka pintu pagar api begitu marak dan selepas itu kami tak dengar anjing menyalak," katanya.