Empangan makin merosot, Melaka cadang buat pembenihan awan

Adly duduk (tiga dari kanan) bersama bapa angkat dan wakil jabatan angkat selepas Majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat Sukan Malaysia (Sukma) XX dan Penyampaian Hadiah Kemenangan Atlet Melaka di Sukan SEA XXX di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Adly duduk (tiga dari kanan) bersama bapa angkat dan wakil jabatan angkat selepas Majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat Sukan Malaysia (Sukma) XX dan Penyampaian Hadiah Kemenangan Atlet Melaka di Sukan SEA XXX di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka bercadang melakukan pembenihan awan berikutan paras air empangan semakin merosot walaupun sistem bekalan air berjadual dilaksanakan sejak minggu lalu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Badan Kawal Selia Air (BKSA) akan menyediakan laporan teknikal berhubung keperluan untuk melakukan pembenihan awan tersebut.

"Kita akan buat pembenihan awan pada masa dan tempoh yang sesuai. Ia akan dibuat secara berperingkat mengikut laporan teknikal.

"Dari segi teknikal keperluan itu wujud dan kita akan buat, namun pembenihan awan bergantung kepada keadaan awan, kerana itu ia banyak bergantung kepada laporan teknikal," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat Sukan Malaysia (Sukma) XX dan Penyampaian Hadiah Kemenangan Atlet Melaka di Sukan SEA XXX di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee.

Adly (tengah) bersama atlet dan wakil atlet yang menerima insentif wang tunai daripada kerajaan negeri.
Adly (tengah) bersama atlet dan wakil atlet yang menerima insentif wang tunai daripada kerajaan negeri.

Sementara itu, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil menafikan catuan air berjadual yang berlaku sekarang adalah krisis air terburuk di Melaka seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Fasa dua catuan air di Melaka jika sumber air masih kurang

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya beliau berkata, situasi yang berlaku kini adalah disebabkan kegagalan kerajaan terdahulu meneruskan projek Empangan Sungai Jernih pada tahun 2017.

Menurutnya, selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, projek itu diteruskan semula dan sekarang ini masih menunggu peruntukan tambahan bagi memastikan ia dapat disiapkan seperti yang dijadualkan.

"Sistem air berjadual yang dilaksanakan adalah bersifat sementara supaya penduduk tidak terus terjejas akibat pengurangan air di empangan dan kini sedang menunggu laporan sama ada sistem tersebut akan diteruskan pada minggu ketiga atau sebaliknya.

"Selepas tempoh dua minggu ini kita akan buat penilaian dan buat penjadualan air supaya kawasan perindustrian, pelancongan dan pengguna domestik mendapat bekalan air mencukupi," katanya.

Pada majlis itu Adly menyampaikan watikah kepada 23 bapa angkat sempena persiapan kontinjen negeri menghadapi Sukma di Johor pada tahun ini termasuk acara sukan pelayaran, ragbi, sepak takraw dan sebagainya.

Selain itu, 13 atlet yang beraksi pada Sukan SEA ke-30 di Filipina tahun lalu menerima insentif wang tunai daripada kerajaan negeri berjumlah RM6,000 hingga RM18,000 mengikut pingat yang diperoleh dengan nilai keseluruhan RM146,000.