PRK Mahkota: Titik damai UMNO, DAP?

Pemimpin UMNO dan DAP bersama calon BN, Syed Hussien ketika merasmikan Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota. Foto Bernama
Pemimpin UMNO dan DAP bersama calon BN, Syed Hussien ketika merasmikan Pusat Operasi Perpaduan PRK DUN Mahkota. Foto Bernama
A
A
A

DI belakang pentas Forum Ekonomi Politik (FEP2024) yang berlangsung di ibu kota pada Rabu lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong mengangkat tinggi peranti di tangan untuk tontonan di sekeliling.

Sekumpulan rakan sejawat Ka Siong terpaku menonton klip video calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah sedang menyanyi dalam bahasa Cina di Pesta Tanglung di Kluang, Johor pada malam sebelumnya.

“Dia tapau bersihlah, siap nyanyi lagi, aku pun kalah,” ujar Ka Siong merujuk Syed Hussien, dalam nada seloroh.

Pada forum yang disokong tokoh dan rakan pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak, beliau memuji keperibadian Syed Hussien yang tidak kekok, tidak berlebih-lebihan, malah menyenangkan ketika menyantuni dua blok pengundi terbesar DUN Mahkota – Melayu dan Cina.

Menyorot lensa politik negara, dua PRK terkini di Kelantan dan Johor, UMNO telah mengambil pendekatan untuk berpisah dengan selesa apabila mengetengahkan orang muda sebagai calon.

Tepu dengan isu legasi dan hierarki sejak tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15, UMNO yang lazimnya mencalonkan pemimpin UMNO bahagian dan nama besar parti setiap kali tiba pilihan raya – kini menjauhi lumrah.

Memegang jawatan sebagai ketua bahagian UMNO tidak lagi menjamin pencalonan.

Sekiranya tua, tidak mendakap kuasa besar yakni media digital atau enggan menyumbang di atas platform politics of perfomance, maka lupakan sahaja cita-cita menjadi calon.

Artikel Berkaitan:

Setelah gagal meraih undi Melayu di hampir kesemua siri PRK pasca PRU15, UMNO yang dihembus nafas baharu dengan kemenangan di Nenggiri sekali lagi meletakkan calon daripada sayap Pemuda untuk menentang calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, coach Haizan Jaafar.

Desas desus awal dari Menara Dato' Onn dan bilik gerakan memberitahu, Ketua Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad bersama seluruh jentera Wanita UMNO Johor dikatakan telah merajuk dengan pucuk pimpinan apabila Syed Hussien dipilih, bukan calon sayap Wanita.

Sebagai latar belakang, DUN Mahkota dianggap kerusi tradisi milik tulang belakang parti, Wanita UMNO.

Mahkota yang pertama kali dipertandingkan pada PRU 2004 merupakan kubu BN kecuali sewaktu tsunami politik PRU14 yang menyaksikan kerusi bertukar tangan untuk satu penggal kepada PH.

Pada PRU15, BN merampas semula DUN Mahkota melalui pemimpin wanita UMNO berprestasi cemerlang, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Mana-mana calon UMNO yang dipilih untuk bertanding tidak akan senang duduk sekiranya diboikot atau ‘dibekukan’ oleh sayap Wanita.

Wanita sejak awal penubuhan parti telah digelar ‘tulang belakang’ kerana mereka efektif dalam meraih, memujuk dan merealisasikan undi di setiap kawasan Parlimen atau DUN.

Namun, terdengar bisik-bisik terbaharu pula – Syed Hussien tidak perlu tidur dengan lengan di dahi. Sejak pagi penamaan calon dan hari-hari awal berkempen, jentera Wanita ada di seluruh pusat daerah mengundi DUN Mahkota.

Calon BN kali ini juga bertuah kerana seteru politik terbesar dalam sejarah negara – UMNO dan DAP – tampak boleh bekerjasama untuk menang pilihan raya walaupun kontroversi isu halal antara Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh masih menguasai media massa dan bual politik di kedai kopi.

Berbeza dengan PRK Kuala Kubu Baharu, kedua-dua seteru itu buat pertama kali sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan berjaya mengetepikan perbezaan politik demi kemenangan calon blok PH-BN.

Walaupun kelebihan milik penyandang, usaha underdog pembangkang Bersatu tidak boleh dipandang enteng. Bersatu sebenarnya berada dalam keadaan lebih terdesak untuk menang PRK DUN Mahkota.

Setelah kalah berturut-turut di beberapa PRK – Pulai dan Simpang Jeram – Bersatu tidak mampu untuk kalah sekali lagi kerana kekalahan demi kekalahan bakal menegangkan persoalan – apa fungsi Bersatu dalam blok PN?

DUN Nenggiri dan Mahkota ialah zon selesa UMNO, jadi jalan untuk menang itu mudah, manakala gabungan jentera UMNO dan DAP yang tidak bertelagah kali ini telah membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara.

Di persimpangan ini, saya perlu meneliti semula falsafah Machiavelli dalam buku The Prince: There is no permanent enemy in politics.

Ahli politik dan pemerintah perlu fleksibel serta pragmatik. Fokus harus ditumpukan untuk kekal berkuasa, bukan piawaian moral atau etika yang rigid.

* Elviza pernah berkhidmat untuk dua perdana menteri. Sekarang masih menulis, masih percaya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!