Perak intai kedudukan tiga terbaik Para Sukma

Perak menghantar 93 atlet bertanding di sembilan daripada keseluruhan 10 acara ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 yang bermula Ahad ini hingga 28 September depan.
Perak menghantar 93 atlet bertanding di sembilan daripada keseluruhan 10 acara ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 yang bermula Ahad ini hingga 28 September depan.
A
A
A

KONTINJEN Perak mengintai kedudukan tiga terbaik dengan sasaran 28 emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang bermula Ahad ini hingga 28 September depan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai berdasarkan prestasi membanggakan pada edisi sebelum ini dengan kutipan 25 emas di tangga kelima keseluruhan.

"Kita sudah menetapkan misi untuk memperbaiki pencapaian kejohanan sebelum ini.

Khairudin (tengah) menyempurnakan majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 pada Khamis.
Khairudin (tengah) menyempurnakan majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 pada Khamis.

"Selain olahraga, kita telah menyenaraikan beberapa acara yang menjadi tumpuan untuk menyumbang pingat emas kepada negeri antaranya powerlifting, boling dan memanah.

"Jadi kita mengharapkan atlet-atlet ini dapat memenuhi sasaran tersebut," katanya selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan selaku ketua kontinjen serta Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad.

Dalam kejohanan kali ini, Perak menghantar 93 atlet bertanding di sembilan daripada keseluruhan 10 acara iaitu boccia, memanah, olahraga, badminton, ping pong, boling padang, tenpin boling, powerlifting dan catur.

Artikel Berkaitan:

Khairudin berkata, menerusi Belanjawan Negeri, peruntukan sebanyak RM1 juta disediakan sebagai persiapan dan pengelolaan kontinjen Para Sukma yang dikawal selia oleh MSN.

Katanya, jumlah itu termasuklah insentif pemenang pingat emas RM5,000 manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menerima RM3,000 dan RM1,000 iaitu jumlah sama yang diberikan kepada atlet Sukma.

"Sebagai galakan semangat, kerajaan Perak juga bersetuju menyediakan belanja poket tambahan RM400 kepada atlet, manakala RM800 untuk pegawai.

Bacaan ikrar oleh atlet Kontinjen Perak sempena majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 pada Khamis.
Bacaan ikrar oleh atlet Kontinjen Perak sempena majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma Negeri Perak ke Temasya Para Sukma Sarawak kali ke 21 pada Khamis.

“Selain itu, kita juga memberi insentif kemenangan segera kepada individu dan acara berpasukan yang mana akan diserahkan sebaik sahaja tamat upacara penyampaian hadiah bagi acara yang disertai," katanya.

Beliau berkata, bagi sukan individu, atlet yang meraih emas menerima tambahan insentif kewangan RM300, RM200 (perak) dan RM100 (gangsa).

Manakala bagi acara berpasukan melebihi tiga orang, insentif kemenangan segera RM150 seorang untuk pingat emas, RM100 perak dan RM50 gangsa.

"Kita mengharapkan dengan ada insentif daripada kerajaan negeri ini, mampu melonjakkan prestasi dan memberi motivasi yang cukup tinggi kepada para atlet untuk beraksi dengan lebih baik," katanya.

Pada edisi Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur, Perak berada pada kedudukan kelima dengan pungutan 25 pingat emas, 15 perak dan 14 gangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!