Rumah ibu tunggal terbakar berpunca 'power bank'
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membantu penempatan semula buat seorang ibu tunggal serta tiga anaknya yang hilang tempat berteduh selepas rumahnya di PPR Gombak Setia di sini terbakar dalam kejadian 14 September lalu.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, keluarga tersebut ditawarkan unit baharu di blok sama selain sumbangan RM1,000.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada peralatan elektronik 'powerbank' yang sedang dicas.
"Lebihan cas tersebut mengakibatkan cetusan api dan membakar unit tersebut.
"Penghuni Perumahan Awam (PA) dan PPR khususnya diingatkan agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan barangan elektronik yang digunakan agar insiden sebegini tidak berulang pada masa akan datang," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Pada masa sama katanya, DBKL komited memastikan keselamatan unit PA dan PPR sentiasaberada dalam keadaan terbaik.
Kejadian dilaporkan sekitar jam 6 pagi itu telah memusnahkan keseluruhan unit didiami mangsa selain turut mengakibatkan tiga unit lain terjejas bekalan elektrik dan satu unit mengalami kerosakan.
Kebakaran juga mengakibatkan kerosakan pada dinding ruang kaki lima dan siling koridor tingkat 10.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.