Dua gading gajah siap diukir, labi-labi dirampas
KUALA LUMPUR - Dua gading gajah yang siap diukir serta seekor labi-labi antara dirampas susulan tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Gasing Indah pada Selasa.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, rampasan serta tangkapan dijalankan Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA dengan kerjasama Urus Setia Ketua Polis Negara (Lesen Senjata Api) Dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).
Beliau berkata, operasi dijalankan untuk membendung aktiviti pemburuan haram dan penyimpanan terbitan hidupan liar.
"Operasi turut merampas satu gading, lima sangkar burung, satu pemegang sangkar disyaki gading gajah, serta satu palet 177 caliber (peluru senapang angin) dengan keseluruhan rampasan dianggarkan RM269,720.
"Selain itu, turut dirampas melibatkan selaras senapang angin dan dua pistol angin," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, sebanyak 134 serbuan dijalankan di seluruh negara serta melibatkan tangkapan seramai 383 individu berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh 1 Januari hingga 14 September.
"Keseluruhan nilai rampasan WCB/PSK JKDNKA dijalankan bagi tempoh berkenaan dianggarkan berjumlah RM418,240,442.
"Selain itu, kesemua tangkapan melibatkan kesalahan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar dan operasi e - waste," katanya.
Ujar beliau, kerjasama orang ramai penting dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan jenayah ini dibanteras.