Nasi lemak, teh tarik jadi pilihan sarapan rakyat Malaysia

Nasi lemak, teh tarik jadi pilihan sarapan rakyat Malaysia. Foto hiasan 123RF
Nasi lemak, teh tarik jadi pilihan sarapan rakyat Malaysia. Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pada awal pagi, aroma pedas Nasi Lemak, bersama dengan pelbagai pilihan teh seperti Teh Tarik dan Teh O, sedia menyemarakkan semangat rakyat Malaysia.

Namun, dengan pelbagai pilihan sarapan lain yang tidak kurang menarik, rakyat Malaysia benar-benar dimanjakan dengan pilihan yang melimpah.

Dalam tinjauan seluruh negara terbaharu oleh Kajidata Sdn Bhd mengenai pilihan sarapan rakyat Malaysia, minat mereka terhadap Nasi Lemak dan Teh Tarik atau Teh O jelas ketara.

Nasi lemak, serta teh panas atau sejuk menjadi juadah pilihan ramai untuk sarapan.

Kajian yang dijalankan oleh Profesor Datuk Seri Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendedahkan bahawa daripada 1,113 responden, 19 peratus memulakan hari mereka dengan Nasi Lemak, manakala 36 peratus memilih Teh Tarik atau Teh O.

Selain Nasi Lemak, 18 peratus rakyat Malaysia lebih gemar menikmati hidangan goreng seperti mi goreng, bihun, kuetiau atau nasi goreng.

Bagi minuman lain selain teh, kopi atau Nescafe atau Latte berada di tempat kedua dengan 30 peratus reponden memilihnya.

Bagi mereka yang mencari kepelbagaian, 16 peratus rakyat Malaysia memilih Roti Canai, atau Tosai, atau Capati. Sebanyak 15 peratus responden membuat pilihan mudah iaitu roti bakar atau sandwic, manakala 11 peratus memilih hidangan berat seperti nasi kerabu, nasi dagang, atau nasi berlauk.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana pula dengan minuman? Walaupun teh mendahului senarai, 13 peratus lebih suka rasa coklat Milo atau minuman lain berasaskan malt, sementara bilangan yang sama memilih air kosong atau air mineral. Bagaimana pula bijirin dan susu? Kedua-duanya kurang mendapat sambutan dengan hanya dua peratus dan lima peratus responden masing-masing memilihnya.

Profesor Syed Arabi, bekas rektor UIAM berkata hasil kajian yang dijalankan antara Mei dan Julai 2024, menawarkan gambaran tentang makanan kegemaran rakyat Malaysia, menunjukkan bahawa sarapan yang baik bukan sekadar hidangan, ia mencerminkan jiwa bangsa.

Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Malaysia dengan cita rasa yang pelbagai, jarang memulakan hari mereka tanpa mengalas perut.

Penasihat Kajidata, Datuk Haris Ismail yang bersetuju dengan pandangan ini, menambah bahawa budaya sarapan Malaysia yang kaya adalah bukti kesejahteraan rakyat.

"Di banyak bahagian dunia, mencari makan sekali sehari pun menjadi cabaran," katanya.

"Apa yang ditunjukkan oleh hasil kajian ini? Secara ringkas, ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia benar-benar bertuah.

"Mereka sangat menggemari Nasi Lemak dan Teh Tarik, dan hakikat bahawa kebanyakan rakyat dapat memulakan hari mereka dengan hidangan yang mengenyangkan adalah satu keistimewaan yang hanya boleh diimpikan oleh ramai orang di pelbagai tempat di dunia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!