Pelancong beri markah 5/10

Keadaan tandas awam di beberapa pasar raya. Gambar kecil dari kiri: Mohamed Muaadh, Flavio Sartorelli
Keadaan tandas awam di beberapa pasar raya. Gambar kecil dari kiri: Mohamed Muaadh, Flavio Sartorelli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancong asing berpandangan tandas awam di Malaysia khususnya di ibu kota Kuala Lumpur berada pada tahap sederhana.

Daripada 12 pelancong asing yang ditemui, hampir separuh daripadanya memberikan markah lima per 10.

Ramai yang ditemui antaranya membangkitkan keadaan lantai tandas yang basah dan licin, selain ketiadaan tisu serta ada di sesetengah tempat tidak dipantau kualiti pembersihannya.

Pelancong dari Itali, Flavio Sartorelli, 33, berkata, setakat empat hari berada di Malaysia, dia belum pernah menggunakan tandas awam kerana kurang selesa.

“Saya tak pernah guna tandas awam seperti di stesen minyak dan kedai makan kerana keadaan lantai basah serta tiada tisu tandas.

“Setakat ini saya hanya gunakan tandas di tempat penginapan atau pusat beli-belah yang lebih bersih,” katanya ketika tinjauan berkenaan kualiti tandas di Malaysia khususnya di ibu kota Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebelum ini dia banyak menumpukan percutian di negara Eropah dan Malaysia merupakan negara Asia pertama dilawati sebelum berangkat ke Singapura dan Bali, Indonesia.

“Agak kekok juga kerana tandas di Malaysia berbeza dengan negara Eropah seperti penggunaan pili air berbanding bidet atau tisu tandas.

Artikel Berkaitan:

“Masalah pili air tidak menjadi masalah besar kerana saya boleh belajar menggunakannya, tetapi tisu kena sentiasa bawa kerana tidak semua tandas ada.

“Tandas di Malaysia bersih cuma mungkin boleh ditambah baik seperti kekerapan kerja pembersihan kerana kebanyakan tandas dalam keadaan basah dan licin,” katanya.

Selain itu katanya, papan tanda arah lokasi tandas awam juga perlu diperbanyak untuk memudahkan pelancong asing mencari kemudahan tersebut.

Bagi pelancong dari Jepun yang mahu dikenali sebagai Kayo, 30, selain ketiadaan tisu tandas, keadaan tandas awam di restoran kadangkala disifatkan agak ‘menakutkan’.

Dia turut membangkitkan ketidakselesaan dengan keadaan tandas basah di Malaysia berbanding Jepun di mana lantai sentiasa kering.

“Ia mungkin sudah menjadi budaya di Malaysia dan kita tidak boleh pertikaikan namun saya tak biasa kerana di Jepun tidak seperti itu (basah).

“Kebersihan tandas di Jepun pada tahap nombor satu namun jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang telah dilawati, saya berpandangan tandas di sini masih di tahap baik dan kualitinya boleh diperbaiki lagi,” katanya.

Bagi seorang pelancong dari Yemen, Mohamed Muaadh Alkahtani, 18, berkata, dia yang bermastautin di China menyifatkan tandas di Malaysia tidak sebersih negara tembok besar itu.

“Di China, tandas akan diganti setiap beberapa tahun kerana ia berkait aspek kebersihan selain akan menyebabkan tandas berbau.

“Naik taraf tandas perlu diberi tumpuan terutama di dalam restoran serta taman awam seperti zoo dan kawasan rehat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, situasi itu tidak hanya dihadapi di Malaysia tetapi juga di kebanyakan negara yang telah dilawati.

“Ada yang keadaannya lebih teruk dari Kuala Lumpur namun saya berharap Malaysia boleh mengambil berat penambahbaikan tandas awam ini.

“Daripada 10, saya beri markah lima untuk tandas di Malaysia manakala di negara Arab, tiga markah sementara di China kualiti tandas berada di tahap lapan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!