Keputusan PRK Nenggiri isyarat buat Anwar rakyat terbeban - Muhyiddin

Muhyiddin berucap pada Ceramah Umum PRK Nenggiri UDM Perasu di Felda Perasu.
Muhyiddin berucap pada Ceramah Umum PRK Nenggiri UDM Perasu di Felda Perasu.
A
A
A

GUA MUSANG - Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri akan memberi isyarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rakyat makin terbeban dengan masalah kos sara hidup.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bebanan kos sara hidup menjadi satu isu utama rakyat ketika ini berdasarkan satu kajian yang telah dilakukan.

"Keputusan (PRK) Nenggiri ini penting untuk bagi isyarat kepada Anwar, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) dan menteri lain bahawa orang Nenggiri tahu apa yang berlaku sekarang ini adalah sesuatu amat buruk.

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

"Sebab itu Nenggiri tidak akan sokong calon di sebelah sana (Barisan Nasional atau BN), Nenggiri akan sokong calon Pas (PN)," katanya ketika berucap pada Ceramah Umum PRK Nenggiri Unit Daerah Mengundi (UDM) Perasu di Felda Perasu pada malam Rabu.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Mengulas lanjut, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, kenaikan kos sara hidup menyebabkan ramai antara rakyat menggesa PN segera mengambil alih Kerajaan Madani.

"Saya pergi ke mana-mana ada (rakyat) yang jumpa saya tanya 'Tan Sri bila lagi nak ambil alih kerajaan semula'.

Artikel Berkaitan:

"Itu dia tanya, saya syok juga dengar macam itu. Dia cakap lagi 'Bila dapat ambil balik kerajaan, Tan Sri jadi Perdana Menteri balik'. Dia kata macam itu disebabkan bebanan kos sara hidup ini telah jadi isu paling utama," ujarnya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, harga kebanyakan barang keperluan rakyat sekarang mahal melambung selain turut mengalami kekurangan bekalan.

"Mereka yang pergi pasar beli (barang) seperti ikan, minyak masak dan beras (tahu) semua (harga) mahal.

"Yang mutakhir ini sampai masalah beras tempatan pun tak (berjaya) diselesaikan (kerajaan). Beras adalah makanan ruji, semua orang makan nasi.

"Jadi bila masalah ini timbul sepatutnya kerajaan yang ada pada hari ini iaitu menterinya dan Perdana Menteri sudah lama selesaikan masalah namun ia tak selesai-selesai lagi," kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!