MPS ambil tindakan kilang e-waste
SEGAMAT - Majlis Perbandaran Segamat (MPS) telah mengambil tindakan ke atas dua kilang yang menjalankan operasi kitar semula sampah elektronik (e-waste) di Kawasan Perindustrian Segamat 2, di sini.
Yang Dipertua MPS, Mohd Helmi Sha'ri berkata, pihaknya telah mengeluarkan dua notis serta tiga kompaun sejak awal tahun ini ke atas dua kilang berkenaan.
Katanya, kilang ini tidak mempunyai kelulusan kebenaran merancang dan MPS tidak pernah meluluskan permit atau lesen untuk premis itu beroperasi.
"MPS telah mengeluarkan kompaun dan notis pemberhentian operasi serta-merta di bawah peruntukan UUK 49(2) Undang-Undang Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017.
"Kita turut mengeluarkan notis mendirikan bangunan tanpa kebenaran dari MPS sebagaimana peruntukan di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) ke atas dua kilang yang beroperasi secara haram.
"Oleh itu, permohonan mereka telah ditolak dan kita tidak pernah mengeluarkan lesen bagi membenarkan kilang ini beroperasi. Namun, MPS tidak tolak kemungkinan ada kilang-kilang e-waste haram ini sorok-sorok menjalankan operasi pada waktu malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata, MPS sedang menunggu laporan penuh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung dakwaan pengoperasian kilang-kilang haram itu.
Menurutnya, MPS memandang serius isu sebegini kerana ia mengundang kepada kemudaratan terhadap penduduk.
"Saya percaya isu e-waste ini boleh diselesaikan jika sisa-sisa elektronik ini tidak masuk ke dalam negara," ujarnya.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan berita eksklusif mengenai aduan penduduk di sekitar Segamat, Johor yang bimbang akan pencemaran bau pada waktu malam dipercayai akibat proses yang dilakukan kilang e-waste.
Laporan berita itu juga melaporkan mengenai aktiviti kilang haram di lokasi berkenaan yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan JAS.
Sinar Harian juga melaporkan penemuan satu lokasi ladang kelapa sawit di Durian Chondong, Bukit Kepong di Johor dipercayai tempat melupus sisa e-waste.